Joe Biden semasa Debat Presiden pertama di studio Atlanta CNN, pada 27 Jun.
WASHINGTON: Kira-kira 75 peratus pengundi Amerika Syarikat (AS) berpendapat Parti Demokrat lebih berpotensi untuk memenangi Pilihan Raya Presiden, jika mempertaruhkan calon selain Joe Biden.
Menurut Utusan Malaysia, tinjauan oleh CNN menunjukkan, 49 peratus pengundi cenderung menyokong bekas Presiden, Donald Trump berbanding Biden, 43 peratus, hanya beza enam mata dengan calon Republikan itu.
Rangkaian itu melaporkan, dalam kalangan orang awam AS, penilaian untuk mereka yang menyokong Biden hanya 34 peratus, manakala 58 peratus lagi melihatnya secara tidak menyokong.
Prestasi buruk Biden semasa Debat Presiden pertama minggu lalu, mencemaskan beberapa ahli Demokrat dan penyokong kerana kesukarannya mengemukakan idea serta bertindak balas secara berkesan terhadap dakwaan Trump.
CNN berkata, ramai dalam kalangan Demokrat dan sekutu lama Biden bersetuju jika Presiden AS itu berhenti daripada kempennya.
Sebelum ini, Wakil AS, Lloyd Doggett, yang mewakili Austin, Texas, menjadi wakil Demokrat pertama menggesa Biden menarik diri daripada pemilihan.
“Saya mewakili kawasan Kongres yang pernah diwakili Lyndon Johnson. Dalam keadaan yang sangat berbeza, beliau membuat keputusan yang menyakitkan untuk menarik diri. Presiden Biden harus melakukan perkara sama,” katanya.
Semalam, White House mengakui kebimbangan rakyat AS mengenai prestasi buruk Biden semasa pusingan pertama debat dengan Trump.
“Kami memahami kebimbangan itu. Presiden tidak dapat rehat yang cukup,” kata jurucakapnya, Karine Jean-Pierre sambil menyatakan Biden mengalami selesema dan sakit tekak.






























