KUALA LUMPUR: Seorang lelaki diburu selepas menghantar bungkusan berisi objek menyerupai bahan letupan ke pejabat Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) di Putrajaya, pada 5 Jun lalu.
Lakaran individu memakai pelitup muka itu dirakam di pejabat sebuah syarikat penghantaran di Sungai Buloh, Selangor, pada hari sama bungkusan itu dikirim ke pejabat Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, lelaki itu dikesan memakai baju berwarna merah dan jaket hitam selain penutup kepala berwarna hitam.
“Hasil siasatan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya, mendapati individu itu melakukan proses penghantaran bungkusan berkenaan dengan menggunakan identiti individu lain.
“Berdasarkan siasatan juga individu yang identitinya digunakan itu mengesahkan dia tidak hadir ke pejabat penghantaran di Sungai Buloh dan tidak tahu tentang sebarang urusan penghantaran barang,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields, di sini hari ini.
Rusdi berkata, pihak polis meminta bantuan orang ramai yang mempunyai maklumat tentang suspek dan kejadian tersebut untuk memaklumkan segera kepada pihak IPD Putrajaya atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999.
Sehubungan kejadian ini, polis menasihati pihak syarikat penghantaran atau syarikat perbankan untuk mengarahkan pelanggan mereka membuka pelitup muka semasa melakukan sebarang urusan.
“Langkah ini adalah penting bagi membolehkan pihak polis mengenal pasti identiti mana-mana pelaku jenayah selain sentiasa menjalankan penyeliaan terhadap sistem rakaman kemera litar tertutup (CCTV) agar sentiasa berfungsi,” jelasnya.
Dalam kejadian pukul 2.45 petang, 5 Jun lalu, King Sing menerima bungkusan yang dialamatkan ke pejabatnya yang dihantar syarikat kurier pada pukul 11.19 pagi.
Bungkusan itu diambil dari lobi di tingkat bawah pejabat MOTAC dan dibawa naik ke tingkat 14 iaitu pejabat King Sing.
Apabila dibuka ia didapati berisi paip PVC beserta wayar dan penentu masa (timer). Siasatan kes tersebut dijalankan mengikut Seksyen 8, Akta Letupan dan Bahan Api 1957.


































