Kebanyakan jemaah haji yang meninggal dunia pada musim haji 1445 adalah mereka yang memasuki Arab Saudi menggunakan visa pelancongan.
KUALA LUMPUR: Kebanyakan jemaah haji yang meninggal dunia pada musim haji 1445 adalah mereka yang memasuki Arab Saudi menggunakan visa pelancongan.
Menurut Utusan Malaysia, perkara itu disahkan oleh pegawai dari beberapa negara di mana mereka memasuki Arab Saudi beberapa bulan sebelum ibadah haji bermula.
Menurut Kementerian Luar Negeri, Migrasi Luar Negara Tunisia, kebanyakan jemaah mereka meninggal dunia menggunakan visa pelancongan, lawatan atau umrah.
Begitu juga dengan Pengarah Operasi dan Hal Ehwal Konsular di Kementerian Luar Negeri dan Ekspatriat Jordan, Dr. Sufyan Qudrah turut berkata, semua jemaah haji Jordan yang meninggal dunia atau hilang bukan sebahagian daripada delegasi rasmi Haji Jordan, di mana mereka telah memasuki Arab Saudi dengan visa pelancongan dan tanpa permit haji.
“Individu-individu ini kekal di Mekah sehingga musim haji dan menunaikan haji tanpa kebenaran yang sewajarnya, tanpa sokongan daripada mana-mana syarikat atau entiti untuk menyediakan penginapan, makanan atau perkhidmatan pengangkutan,” jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.
Musim haji tahun ini menyaksikan peningkatan yang ketara dari segi jumlah jemaah yang menunaikan ibadah haji dengan suhu panas sehingga mencecah 51.8 celcius di Masjidil Haram.
Jumlah itu termasuklah mereka yang tidak mendapat permit sah untuk menunaikan haji, sekali gus terdedah dengan perjalanan jauh ke kota suci Mekah di bawah cuaca terik tanpa penginapan, makanan atau perkhidmatan dan pengangkutan.
Akibatnya, ia menyebabkan kematian susulan strok haba dan berjalan di laluan yang sesak di kawasan yang tidak ditetapkan untuk pejalan kaki.
Untuk rekod, sekurang-kurangnya 550 jemaah haji daripada 1.8 juta keseluruhannya meninggal dunia akibat cabaran mengerjakan ibadah itu dalam cuaca panas terik.
Daripada jumlah itu, dua pegawai diplomat Arab Saudi mengesahkan 323 orang yang meninggal dunia membabitkan rakyat Mesir.
Pihak berkuasa Arab Saudi juga melaporkan merawat lebih 2,000 jemaah yang mengalami tekanan haba, setakat Ahad lalu.
































