Anwar Ibrahim bersama Li Qiang ketika hadir untuk menyaksikan pertukaran memorandum persefahaman di antara Malaysia dan China di bangunan Perdana Putra hari ini. – Foto PMO
KUALA LUMPUR: Hubungan antara Malaysia dan China terjalin atas asas persahabatan dan saling menghormati antara satu sama lain.
Menurut Utusan Malaysia, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu bagi memastikan manfaat dapat dirasai kedua-dua pihak khususnya kepada rakyat dari segi jalinan perdagangan, ekonomi dan teknologi.
Katanya, walaupun terdapat beberapa isu menjadi pertikaian, kedua-dua negara berbincang sebagai rakan kongsi dan rakan yang dipercayai.
“Saya telah beri jaminan berdasarkan sejarah terdahulu dari zaman Maharaja China dan Sultan Melaka. Lawatan Perdana Menteri Li Qiang, sahabat saya yang dihormati ini, telah membuktikan (kemesraan).
“Kami berbincang selama berjam-jam, tanpa sebarang keangkuhan atau ultimatum.
“Walaupun terdapat isu yang dipertikaikan, kita lihat mereka sebagai rakan kongsi dan sahabat yang dipercayai… terlibat dalam perbincangan selama beberapa jam sebagai rakan kongsi setara dan boleh dipercayai,” katanya dalam Majlis Resepsi Makan Tengah Hari Komuniti Perniagaan Malaysia-China, di sini hari ini.
Yang hadir sama Perdana Menteri China, Li Qiang yang kini mengadakan lawatan kerja ke Malaysia selama hari tiga bermula Selasa lalu.
Dalam pada itu, Anwar menjelaskan kesangsian beberapa pihak terhadap hubungan baik antara Malaysia sebagai sebuah negara kecil dengan China.
“Ada pihak mengatakan Malaysia adalah ekonomi yang semakin berkembang. Jangan biarkan disalah guna China untuk mendapat keistimewaan dan diperas ugut dari negara itu.
“Saya mengatakan tidak. Sebaliknya, kita ingin mendapat manfaat antara satu sama lain, kami mahu belajar daripada satu sama lain dan mahu untung daripada hubungan ini, kerana hanya melalui proses ini kita boleh membantu rakyat baik Malaysia mahupun China,” katanya.
Perdana Menteri turut menyanggah dakwaan sesetengah pihaknya yang mengatakan berlaku penguasaan China daripada ekonomi, ketenteraan dan teknologi.
Sebaliknya beliau berkata, Malaysia bersikap neutral dan mempunyai keazaman untuk bekerjasama dengan semua negara termasuk China.
“Kami melihat Perdana Menteri Li Qiang sebagai rakan untuk boleh sama bekerja, bekerjasama dan membuktikan kepada dunia bahawa perpaduan ini sebagai satu persahabatan bermakna,” katanya.
































