Kenderaan lori yang terbabas lalu jatuh ke dalam tanah mendap di KM73 Jalan Kuantan-Segamat, menyebabkan pemandunya meninggal dunia di lokasi kejadian, malam tadi. – Foto Ihsan PDRM Pekan
PEKAN: Seorang lelaki maut selepas lori yang dipandu terbabas dan memasuki lubang jalan mendap di Kilometer 73, Jalan Kuantan – Segamat malam tadi.
Dalam nahas kira-kira pukul 8.55 itu, Muhammad Farhan Dagang, 29, yang berasal dari Kampung Cahaya Baru, Masai, Johor, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah, Superintendan Mohd Zaidi Mat Zin berkata, mangsa yang dalam perjalanan dari arah Segamat menghala ke Pekan telah terbabas sebaik sahaja tiba di lokasi.
“Apabila sampai di tempat kejadian, lori dipandu mangsa hilang kawalan dan melanggar penghadang plastik kemudian termasuk ke dalam lubang jalan yang mendap.
“Kemalangan tersebut mengakibatkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.
Tambahnya lagi, hasil siasatan awal juga mendapati, kemalangan berpunca daripada kecuaian pemandu berikutan tidak perasaan kawasan lencongan jambatan sementara.
































