PETALING JAYA: Seramai 73 individu termasuk 22 kanak-kanak dipercayai dieksploitasi sebagai buruh paksa diselamatkan polis dalam serbuan berasingan di seluruh negara pada 12 Jun lalu.
Op Mega Pintas dijalankan oleh Bahagian D3 Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (Atipsom), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman melibatkan 33 serbuan serentak membabitkan 14 kontinjen.
Menurut Utusan Malaysia, Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (Risikan/Operasi) Bukit Aman, Deputi Komisioner Fadil Marsus berkata, dalam operasi itu, kesemua 73 mangsa diselamatkan terdiri daripada 25 lelaki, 26 perempuan dan 22 kanak-kanak.
Katanya, kesemua mereka terdiri daripada warga tempatan, Filipina, Indonesia, Bangladesh, Kemboja, Myanmar dan Thailand.
“Selain itu, polis berjaya menyelamatkan tiga orang kurang upaya berusia 38 hingga 44 tahun, masing-masing seorang wanita dan dua lelaki dipercayai terlibat dalam eksploitasi seks dan buruh paksa.
“Kesemua mangsa diselamatkan mengikut Seksyen 44 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM),” katanya dalam sidang akhbar di Bukit Aman, hari ini.
Menurutnya, pihaknya turut menahan 113 individu terdiri daripada warga tempatan dan warga asing antaranya Thailand, India, Bangladesh, Indonesia dan China.
“Ada antara mereka (113) merupakan ahli sindiket kegiatan terbabit.
“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 12 dan 14 Akta ATIPSOM 2007, Seksyen 55b, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, Perkara 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya.
Mengulas lanjut, Fadil berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) memandang serius aktiviti jenayah pemerdagangan orang dan tindakan tegas akan dilaksanakan terhadap mana-mana individu yang terbabit dalam kegiatan ini.
“PDRM juga mengalu-alukan kerjasama daripada masyarakat sekiranya mempunyai maklumat tentang jenayah pemerdangangan orang dan sebarang maklumat boleh disalurkan ke mana-mana balai polis berdekatan,” katanya.
Dalam pada itu, Fadil turut menyeru majikan dan peniaga yang menggajikan pekerja warga asing atau tempatan untuk lebih peka supaya mereka tidak melakukan eksploitasi pekerjaan terhadap golongan terbabit.
“Antaranya adalah mereka (mangsa) terikat dengan hutang terhadap individu atau ejen yang memperdayakan mereka di negara ini selain turut diperdayakan oleh ejen atau sindiket di negara asal mereka.
“Golongan ini sebaik tiba di Malaysia, mereka yang dijanjikan pekerjaan yang menjanjikan pulangan lumayan sebaliknya akan dipaksa menjadi buruh paksa, dipaksa menjadi pengemis dan peminta sedekah, menjadi hamba seks, tidak dibenarkan bertemu orang lain, dikurung di tempat kerja serta tinggal di tempat yang tidak kondusif,” katanya.
Fadil berkata, ada antara mangsa-mangsa ini turut diancam dengan pelbagai ugutan dan ancaman sama ada daripada majikan, ejen atau penjaga mereka termasuk akan dicederakan sekiranya tidak melakukan apa sahaja yang diarahkan.
“Situasi ini adalah sama dengan mana-mana rakyat Malaysia yang diperdayakan di luar negara dan menjadi mangsa pemerdagangan manusia,” katanya.


































