Gambar hiasan
PETALING JAYA: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menanggung kerugian RM40 juta sehingga tahun lalu akibat warga asing yang tidak membayar bil perubatan di fasiliti kesihatan awam di seluruh negara.
Akibat kerugian tersebut dan kesesakan yang dialami di fasiliti kesihatan awam ketika ini, kerajaan dicadangkan menaikkan caj perubatan bagi warga asing dan hanya menerima pesakit bukan warganegara yang mempunyai insurans.
Menurut Utusan Malaysia, Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Datuk Dr. Zainal Ariffin Omar berkata, beliau berpendapat caj munasabah untuk warga asing yang mendaftar untuk menerima rawatan di hospital awam sepatutnya dinaikkan kepada RM120 berbanding hanya RM40 ketika ini.
Menurut beliau, jumlah itu paling munasabah bagi menampung peningkatan kos rawatan perubatan dan risiko kehilangan hasil yang tidak dapat dikutip seperti dialami KKM sebanyak RM40 juta sehingga tahun lalu.
Kata beliau, peningkatan caj bayaran terhadap warga asing juga secara tidak langsung dapat menyelesaikan masalah kesesakan di hampir semua kemudahan kesihatan kerajaan.
PROSEDUR
Pada masa sama, beliau berkata, KKM juga perlu menetapkan prosedur baharu di kemudahan kesihatan kerajaan supaya hanya mengambil pesakit warga asing yang memiliki perlindungan insurans sahaja.
“Terdapat dua perkara penting dalam isu membabitkan rawatan terhadap warga asing iaitu kos rawatan semakin tinggi dan hasil yang tak dapat dikutip dan kesesakan di kemudahan kesihatan kerajaan.
Ads by Kiosked
“Jalan penyelesaian yang boleh dipertimbangkan oleh kerajaan adalah menaikkan kadar bayaran sehingga tiga kali ganda dan membuat penetapan untuk merawat pesakit warga asing yang mempunyai perlindungan insurans sahaja.
“Sekiranya mereka tiada perlindungan insurans, warga asing ini perlu mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan swasta,” katanya ketika dihubungi semalam.
Berdasarkan laman sesawang KKM, caj perubatan bagi warga asing di hospital, klinik kesihatan, dan klinik desa adalah RM40 sementara caj pakar RM120 manakala caj jabatan kecemasan RM100.
BAYARAN
Mengulas lanjut, Dr. Zainal Ariffin berkata, hasil atau bayaran yang tidak dapat dikutip daripada warga asing menyebabkan kerajaan kehilangan hasil untuk membiayai kos kesihatan warga tempatan.
“Jadi, untuk menyelesaikan masalah itu KKM perlu mengenakan deposit tinggi kepada warga asing yang mahu mendapatkan rawatan di fasiliti mereka dan memberikan perkhidmatan kepada memiliki insurans sahaja,” katanya.
Sementara itu, bekas Timbalan Menteri Kesihatan, Dr. Lee Boon Chye turut memberikan pandangan sama bahkan mencadangkan supaya KKM mengenakan caj sebenar kos ditanggungnya untuk memberikan perkhidmatan rawatan kepada warga asing.
Bagaimanapun, beliau berkata, perlu ada kelonggaran diberikan kepada warga asing di Sabah memandangkan terdapat implikasi kesihatan yang tinggi di negeri tersebut sekiranya golongan berkenaan tidak diberikan perkhidmatan kesihatan.
“Pendatang asing tanpa izin (PATI) di Sabah agak sukar untuk dikawal khususnya membabitkan isu orang Sulu, jika tidak diberikan perkhidmatan kesihatan ia akan mengundang implikasi kesihatan seperti penularan penyakit berjangkit yang tidak terkawal.
“Bagaimanapun, di Semenanjung, warga asing yang mahu mendapatkan rawatan di fasiliti kerajaan perlu membayar 100 peratus kos sebenar KKM tanpa sebarang subsidi,” katanya.
Pada April lalu, Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni memberitahu Dewan Negara, sejumlah 72,078 warga asing menerima rawatan di fasiliti kesihatan kerajaan pada tahun lalu dan sejumlah RM257 juta bayaran dikutip.
Bagaimanapun, katanya, jumlah keseluruhan bil perubatan yang tidak dibayar oleh warga asing di negara ini sehingga tahun lalu adalah berjumlah RM40 juta.


































