Gambar kenangan pemenang.
Kira-kira 1,000 belia daripada Sabah, Sarawak dan Brunei memeriahkan Panggung Borneo Vol 1 (Siri Pertama) yang berlangsung selama dua bermula 1 Jun di Hongkod Koisaan, Penampang, selepas kemuncak perayaan Pesta Kaamatan.
Acara tersebut, sempena sambutan ulang tahun ke-10 Wreckless Wolf Pack dan untuk mempromosi budaya dan seni Sabah dianjurkan bersama oleh Majlis Belia Persatuan Kebudayaan Kadazan Dusun (KDCA) Keningau, Persatuan Seni Budaya & Masyarakat Sabah dan Galaxy Borneo, dengan sokongan Majlis Belia KDCA.
Antara pengisiannya ialah pertunjukan automotif, pameran seni dan konsert Panggung Borneo yang turut disertai oleh kumpulan For Revenge Band dari Indonesia, Tuni Sundatang (Sabah), A.M.E.F (Sabah) dan Handcuff.
Aktiviti pertunjukan autonomotif turut disertai oleh Old School Car Brunei, selain kumpulan peminat automotif tempatan Sabah.

Steve (kiri) ketika berada di Hongkod Koisaan.
Pengerusi Majlis Belia KDCA, Steve Johnny Mositun yang sempat merasakan konsert Panggung Borneo memuji golongan muda yang berani membuat anjuran yang membawa serta menyokong pameran kreatif muda-mudi serta pengisian lain acara tersebut.
Beliau juga berterima kasih kepada KDCA kerana memberikan ruang untuk acara tersebut.
“Kami berasa bersyukur kerana turut mendapat liputan media Indonesia pada acara ini dan kami berharap lebih banyak sokongan daripada komuniti Sabah pada masa hadapan,” kata Steve.
Turut hadir pada acara tersebut ialah Razzidin Robert, Pengerusi Majlis Belia KDCA Keningau, Pengerusi Persatuan Seni Budaya & Masyarakat Sabah, Mohd Arif Zakira dan wakil Galaxy Borneo.


































