Anthony Loke menunjukkan kadar fi LKM kenderaan EV pada sidang akhbar di Putrajaya.
PUTRAJAYA: Kerajaan memutuskan kadar baharu cukai jalan atau Lesen Kenderaan Motor (LKM) bagi kenderaan motor elektrik (EV) bermula 1 Januari 2026 akan ditentukan mengikut kuasa motor elektrik.
Lebih menarik, kadar fi LKM itu jauh lebih murah berbanding kadar sedia ada dengan pengurangan fi sehingga 85 peratus.
Menurut Utusan Malaysia, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, kadar fi itu akan meningkat selaras dengan kenaikan kuasa motor elektrik dan ia terpakai kepada kenderaan motor tanpa pelepasan (ZEVs) dalam kategori Pure Battery Electric Vehicle (PBEV) dan Fuel Cell Electric Vehicle (FCEV) sahaja.
“Semua kadar fi yang ditetapkan ini akan disemak sekurang-kurangnya setiap lima tahun bagi memastikan keberkesanan peralihan kepada ZEVs serta impak kepada hasil kerajaan,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.
Katanya, tahap penggunaan kenderaan elektrik di Malaysia menunjukkan pertumbuhan positif pada tahun lalu susulan dasar kerajaan memberi pengecualian pelbagai duti, cukai dan fi yang berkenaan.
Bagaimanapun, Loke berkata, secara kesuluruhannya trend pertumbuhan EV di Malaysia masih di peringkat awalan.
“Berdasarkan statistik semasa, pada tahun 2023 sebanyak 15,671 kenderaan elektrik didaftarkan berbanding jumlah kenderaan yang didaftarkan iaitu 1,533,332 kenderaan dan mewakili hanya satu peratus.
“Pada tahun ini setakat 30 April lalu, jumlah kenderaan elektrik yang didaftarkan adalah sebanyak 7,003 atau 1.4 peratus berbanding jumlah kenderaan sebanyak 499,945 buah,” katanya.
Katanya, pengecualian kadar fi LKM kepada kenderaan EV dilaksanakan mulai 1 Januari 2022 dan akan tamat pada 31 Disember 2025.
Jelasnya lagi, kadar baharu ini diharap dapat melegakan kerisauan pengguna EV yang bimbang fi LKM akan lebih mahal selepas tempoh pengecualian.
Kadar fi LKM minimum ditetapkan pada kadar RM20 bagi kenderaan EV yang mempunyai kuasa motor elektrik bermula 1 watt hingga 50,000 watt.
Bagi kenderaan EV dengan 1 juta watt pula, kadar fi LKM ditetapkan pada kadar RM14,415.
Sebagai perbandingan contoh kenderaan, Hyundai Kona e-lite kini hanya perlu membayar kadar fi LKM Sebanyak RM70 berbanding RM243 kadar sebelum ini.
Manakala, pengguna Porsche Taycan Turbo GT pula perlu membayar kadar fi LKM sebanyak RM6,715 berbanding RM17,494 pada kadar sedia ada.


































