Mohd. Nasir Deraman semasa sidang akhbar di Wisma Penguatkuasaan Sepanggar di Kota Kinabalu.
KOTA KINABALU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah merekodkan 13 kes dengan lima kes tangkapan sepanjang lapan hari pelaksanaan Op Tuai semasa musim Pesta Kaamatan.
Menurut Utusan Malaysia, Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Sabah, Datuk Mohd. Nasir Deraman berkata, sepanjang operasi dijalankan, mereka telah menahan empat lelaki warga tempatan berusia antara 19 hingga 41 tahun serta seorang lelaki warga asing yang berusia 41 tahun.
Beliau berkata, sepanjang Op Tuai, Kastam berjaya merampas pelbagai jenis dan jenama rokok dengan jumlah keseluruhan RM9,164.64 serta minuman keras pelbagai jenama sebanyak 16,767.59 liter dengan anggaran nilai keseluruhan sebanyak RM290,155.76.
Katanya, semasa pelaksanaan Op Tuai pada 22 Mei, Bahagian Penguatkuasaan JKDM Sabah berjaya merampas pelbagai jenis dan jenama minuman keras berjumlah 16,767.59 liter dengan nilai harga berjumlah RM 80,453.19 dan anggaran nilai cukai serta duti terlibat berjumlah RM290,155.76.
“Turut dirampas dalam serbuan itu, pelbagai jenis dan jenama rokok berjumlah 15,480 batang dengan anggaran nilai harga berjumlah RM1,874.40 dan anggaran cukai serta duti terlibat berjumlah RM9,164.64.
“Selain itu dua buah lori, sebuah van dan sebuah kenderaan Perodua Viva yang disyaki digunakan untuk menyimpan minuman keras turut dirampas di dalam operasi ini dengan anggaran nilai harga keseluruhan RM75,000. Jumlah keseluruhan nilai rampasan semasa operasi ini adalah RM456,647.99,” katanya dalam sidang akhbar di Wisma Penguatkuasaan Kastam Sepanggar, di sini hari ini.
Kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 atas kesalahan menyimpan barang larangan.


































