Mohd. Nasir Deraman (tiga kiri) bersama pegawai kanan Kastam Sabah menunjukkan minuman keras yang dirampas semasa sidang akhbar di Kota Kinabalu hari ini.
KOTA KINABALU: Taktik menyeludup masuk minuman keras tidak bercukai bernilai RM1.5 juta berjaya dikesan apabila kontena yang diisytihar sebagai barangan keperluan rumah dirampas di Pelabuhan Sepanggar, baru-baru ini.
Rampasan tiga kontena yang diikrarkan sebagai barang keperluan rumah, aksesori telefon dan alat ganti jentera berat itu dilakukan oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah.
Menurut Utusan Malaysia, Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Sabah, Datuk Mohd. Nasir Deraman berkata, rampasan minuman keras pelbagai jenama sebanyak 70,407.92 liter itu dianggarkan bernilai RM298,442.34 dan anggaran nilai duti dan cukai terlibat adalah sebanyak RM1.2 juta.
Dalam rampasan pertama pada 24 April, kira-kira pukul 10.50 pagi, pasukan serbuan daripada cawangan Import Eksport Pelabuhan Sepanggar dan Unit Operasi Penguatkuasaan Kota Kinabalu telah menahan dua buah kontena disyaki mengandungi minuman keras pelbagai jenama yang diseludup masuk melalui Pelabuhan Sepanggar.
“Hasil pemeriksaan awal terhadap kontena yang ditahan, pasukan serbuan Kastam menemukan sejumlah 47,520 liter minuman keras jenis bir dengan anggaran nilai harga RM202,276.80 dan jumlah anggaran nilai duti serta cukai yang terlibat adalah berjumlah RM815,807.52.
“Kemudian rampasan kedua pada pukul 3.39 petang di lokasi sama, pasukan serbuan berjaya menahan sebuah kontena yang disyaki mengandungi minuman keras. Pemeriksaan mendapati terdapat 22,887.92 liter minuman keras pelbagai jenama yang dianggarkan bernilai RM96,165.44 dan anggaran duti dan cukai terlibat berjumlah RM388,439.13,” katanya dalam sidang akhbar di Wisma Penguatkuasaan Kastam, di Sepanggar hari ini.
Menurut beliau, modus operandi yang dilakukan adalah memalsukan dokumen dengan mengikrarkan minuman keras sebagai barangan peralatan rumah, aksesori telefon dan alat ganti jentera berat bagi mengaburi mata pihak berkuasa.
Mohd. Nasir berkata, minuman keras yang diseludup itu berjaya dikesan melalui mesin pengimbas yang kini dilengkapi dengan teknologi kecerdasan buatan (AI) yang memudahkan Kastam mengetahui kandungan dalam kontena yang ditahan.
Pemeriksaan lanjut mendapati, alamat yang digunakan pengimport adalah alamat palsu yang tidak wujud.


































