Chin Khiam Kong (kiri) dan Suhairon Abdullah dibawa anggota polis ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bagi menghadapi pertuduhan rasuah RM1.25 juta.
KUALA LUMPUR: Dua pegawai kanan dari Ibu Pejabat Polis Bukit Aman mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini kelmarin terhadap pertuduhan rasuah melibatkan wang tunai RM1.25 juta bagi membantu menutup siasatan terhadap seorang ahli perniagaan yang dikaitkan dengan jenayah matawang kripto dan pembelian senjata api oleh warga Israel, bulan lalu.
Menurut Utusan Malaysia, mereka ialah Ketua Penolong Pengarah Siasatan Perakuanan Forensik, Asisten Komisioner Chin Khiam Kong, 54, dan Ketua Unit Siasatan Jenayah Cryptocurrency, Deputi Superintenden Suhairon Abdullah, 42. Kedua-duanya bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Bukit Aman.
Mengikut pertuduhan pertama, Khiam Kong dan Suhairon didakwa bersama-sama secara rasuah bersetuju untuk menerima suapan RM1 juta daripada Khoo Zixian, 28, untuk membantu menutup siasatan jenayah terhadapnya berkaitan Seksyen 120 Kanun Keseksaan melibatkan isu keselamatan negara.
Kesalahan didakwa dilakukan di Bilik Mesyuarat, Bahagian Siasatan Perakaunan Forensik/Cryptocurrency, JSJK, Menara KPJ, Jalan Tun Razak, di sini, di antara pukul 12 tengah hari dan 1 petang, 8 April lalu.
Mengikut pertuduhan kedua, mereka didakwa menerima suapan wang itu daripada Zixian untuk dorongan serupa, di ruang letak kereta menara itu, pada pukul 4.29 petang dan 4.40 petang hari sama.
Sementara itu, Khiam Kong didakwa atas dua lagi pertuduhan iaitu bersetuju untuk memperoleh rasuah dan menerima suapan RM250,000 daripada individu sama sebagai dorongan serupa, berkaitan kes penipuan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Kesalahan didakwa dilakukan di lokasi sama, di antara 12.30 tengah hari, 18 April dan 1 petang, keesokan hari.
Semua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang boleh dihukum di bawah seksyen 24(1) akta sama.
Seksyen itu membawa hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Hakim Azura Alwi membenarkan Khiam Kong dan Suhairon diikat jamin RM40,000 dengan seorang atau dua penjamin manakala pasport diserah kepada mahkamah sebagai syarat jaminan.
Mahkamah turut membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Mustaffa P. Kunyalam agar perbicaraan didengar secara bersama dan memerintahkan kes disebut pada 30 Julai untuk serahan dokumen.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Syed Faisal Syed Amir mencadangkan setiap tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM100,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan iaitu menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.
Bagaimanapun, peguam Jacky Loi yang mewakili Khiam Kong, merayu agar anak guamnya diberi ikat jamin pada kadar rendah dengan mengambil kira dia telah berkhidmat kepada negara selama 29 tahun.
Sementara itu, peguam Ridha Abdah Subri merayu bagi pihak Suhairon bahawa anak guamnya telah berkhidmat lebih 20 tahun selain perlu menyara ibu bapa yang uzur, isteri dan empat anaknya yang masih bersekolah.
Kedua-dua peguam memohon jaminan dikurangkan kerana tertuduh-tertuduh merupakan pegawai kanan polis yang telah lama berkhidmat dalam pasukan dan tiada risiko melarikan diri atau mengganggu saksi-saksi pendakwaan.


































