Cef pastri berusaha memastikan roti baguette tidak terputus selepas dikeluarkan dari ketuhar bersaiz besar.
Perancis sangat terkenal dan memiliki pelbagai jenis roti, antaranya adalah roti baguette.
Selain memiliki bentuk yang panjang dan berkulit keras di bahagian luar, roti ini juga menjadi ikon di Perancis selain menara Eiffel.
Menurut Utusan Malaysia, baru-baru ini, sekumpulan pembuat roti di Perancis berjaya menempa nama dalam Guinness World Records dengan menghasilkan baguette terpanjang di dunia.
Rekod dunia itu adalah sepanjang 140 meter yang 235 kali ganda lebih panjang berbanding roti yang biasa dijual di kedai.
Pencapaian itu sekali gus memadamkan rekod yang dipegang oleh Itali selama lima tahun sebelum ini, yang pernah menghasilkan roti sepanjang 132 meter.
Roti bersaiz panjang ini dihasilkan secara terbuka di depan orang ramai sempena acara Suresnes Baguette Show di Terrasse du Fecheray di pinggir Kota Suresnes, pada Ahad, baru-baru ini.
Acara tersebut menghimpunkan pembuat roti dan pastri di Perancis.
Seramai 18 pembuat roti terlibat dalam proses penyediaan doh berkenaan sejak pukul 3 pagi manakala, proses membakar roti itu berlangsung dua jam kemudian, iaitu pada pukul 5 pagi menggunakan ketuhar khas.
Selepas dibakar, roti itu dipotong ke bahagian yang lebih kecil dan disapu dengan Nutella sebelum diberikan secara percuma kepada orang ramai.
Roti itu juga disumbangkan kepada persatuan belia tempatan untuk diagihkan kepada gelandangan.
Presiden Konfederasi Kebangsaan Boulangerie dan Patisserie Perancis, Dominique Anract berkata, baguette itu mengambil masa selama kira-kira 10 jam untuk dihasilkan.
“Rekod untuk baguette buatan tangan terpanjang memerlukan semangat kerjasama yang utuh,” katanya.
Datuk Bandar Suresnes, Guillaume Boudy berbangga menjadi saksi pencapaian rekod dunia itu yang meraikan simbol gastronomi negara dan kepakaran pasukan cef pastri di Perancis.
“Saya ingin mengucapkan tahniah kepada pembuat roti yang mengambil bahagian dalam membakar baguette dan mengekalkan tradisi perkongsian yang penting untuk keceriaan bandar kita,” katanya.
Baguette tradisional Perancis dibuat menggunakan empat bahan sahaja iaitu tepung, air, yis dan garam, dengan panjang sekitar 60 sentimeter (cm) dan lebar lima ke enam cm.
Proses pembuatan roti ini tidak memerlukan minyak sekali gus menjadikan hidangan ini tidak mengandungi lemak. Teksturnya yang keras dan berkerak sesuai untuk dimakan dalam masa sehari.
Kebiasaannya, roti ini dimakan bersama sup, jadi teksturnya yang keras boleh menjadi lembut apabila dicicah ke dalam sup.
Pada 2022, baguette Perancis diberi status perlindungan khusus oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) dalam ‘Pengetahuan dan Budaya Kraf Seni Baguette’ serta diperakukan secara rasmi dalam senarai Warisan Budaya Tak Ketara.
































