BANGKOK: Seekor kera obes bernama Godzilla di Bangkok yang gemar menikmati makanan manis, mati akibat pelbagai penyakit berkaitan berat badan pada usia enam tahun.
Menurut Utusan Malaysia, Godzilla dilaporkan mati di Crystal Pet Hospital di Bangkok di sisi tuannya pada 6 Mei lalu.
Bagaimanapun, lelaki itu dan keluarganya berdepan kritikan kerana memanjakan ketagihannya kepada gula-gula dan makanan lain yang menggemukkan, malah menjadikannya tarikan popular di gerai pasar mereka.
Lelaki itu mendakwa mengambil Godzilla sebagai haiwan peliharaan selepas dia ditinggalkan oleh pemilik terdahulu.
Walaupun mengetahui memelihara seekor kera sebagai haiwan peliharaan adalah haram, mereka tetap mengikat Godzilla di gerai pasar bebola daging mereka di mana dia akhirnya menjadi tarikan pelancong.
Lapor Oddity Central, setiap pelancong yang melalui sangkar Godzilla pasti akan memberinya semua jenis makanan ringan, hingga menyebabkan berat haiwan itu meningkat mencecah 19 kilogram, lebih dua kali ganda berat seekor kera biasa.
Orang ramai suka melihatnya makan dan akan membawakannya semua jenis makanan ke gerai itu sehingga haiwan berkenaan disahkan dia menghidap diabetes, penyakit tiroid, dan Sindrom Cushing, semuanya disebabkan diet manis dan minuman sirap yang tidak sihat.
Selepas diambil pihak berkuasa tiga tahun lalu, Godzilla terpaksa menjalani ‘kem lemak’ di sebuah pusat hidupan liar di wilayah Chachoengsao di mana dia diberi makanan yang lebih sihat.
Pengusaha gerai itu pada mulanya dilarang untuk melihatnya, tetapi mereka akhirnya dibenarkan untuk berinteraksi dengan haiwan berkenaan dan berada di sisinya sehingga saat-saat terakhir hayatnya.






























