Pemandangan dari udara menunjukkan papan iklan tumbang di stesen minyak berikutan ribut angin dan debu di Mumbai, India, Isnin.
MUMBAI: Dua belas orang terbunuh dan sekurang-kurangnya 60 cedera selepas papan iklan tumbang semasa ribut kencang di ibu negara kewangan India, Mumbai, Isnin.
Menurut Utusan Malaysia, pihak berkuasa Mumbai memberitahu, sebuah jengkaut sedang menggali serpihan ketika penyelamat berlumba-lumba mencari mangsa yang terselamat selepas papan tanda itu runtuh di sebuah stesen minyak di timur bandar itu.
Tragedi itu turut memerangkap berpuluh-puluh orang di bawahnya.
Seorang inspektor Pasukan Tindak Balas Bencana Kebangsaan (NDRF), Gaurav Chauhan berkata, lapan mayat dikeluarkan dari serpihan dan empat lagi mayat masih tertimbus.
“Kami mengesan mereka tetapi kami tidak boleh mengeluarkannya kerana ada pam petrol dan keadaan boleh berbahaya,” katanya.
Terdahulu, kenyataan pihak berkuasa perbandaran berkata, 60 orang diselamatkan dan dimasukkan ke hospital.
Papan iklan yang runtuh itu berukuran 70 kali 50 meter, menurut catatan dalam platform media sosial X oleh pasukan polis Mumbai.
Mumbai dilanda angin kencang disertai hujan dan ribut debu pada Khamis lalu yang menumbangkan pokok dan menyebabkan bekalan elektrik terputus seketika di beberapa bahagian bandar, bersama-sama dengan gangguan pada rangkaian kereta api di bandar itu.
Laporan media India berkata, penerbangan digantung sementara di lapangan terbang antarabangsa bandar itu dengan sekurang-kurangnya 15 pesawat dialihkan.
Timbalan Ketua Menteri Maharashtra, Devendra Fadnavis berkata, mangsa yang cedera sedang dirawat di Hospital Rajawadi.
“Siasatan peringkat tinggi diarahkan ke atas insiden itu,” kata Fadnavis dalam catatan di X.






























