Anggota bomba melakukan kerja-kerja mengalihkan pokok yang tumbang yang menghempap dua khemah peniaga di tapak pasar malam Taman Semarak, Nilai, Seremban petang kelmarin.
SEREMBAN: Dua buah khemah peniaga di tapak pasar malam Taman Semarak, Nilai di sini, dihempap pokok susulan kejadian ribut dan hujan lebat petang kelmarin.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Nilai, Bakarya Mohd. Salleh berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berkenaan kejadian pokok tumbang itu kira-kira pukul 6.54 petang.
“Dua jentera bersama 12 pegawai dan anggota terus bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima maklumat.
“Setibanya di lokasi, didapati sebatang pokok besar dengan ukur lilit batang pokok sepanjang 40-50 sentimeter (cm) dan ketinggian lebih kurang 30 meter tercabut bongkah akarnya dan telah menghempap dua khemah peniaga yang masing-masing menjual buah dan sayur di pasar malam,” katanya ketika dihubungi.
Bagaimanapun, katanya tiada sebarang kecederaan dilaporkan dalam kejadian berkenaan.
Beliau berkata, atas kecekapan pihak bomba serta dibantu pasukan sukarelawan iaitu Skuad Pantas Nilai, kerja-kerja pembersihan dengan mengalihkan pokok yang tumbang itu telah telah berjaya dilakukan.
“Tiada laluan terhalang susulan kejadian tersebut,” katanya yang memberitahu kerja-kerja operasi pembersihan tamat pada pukul 7.35 petang.






























