Simiun Lomudin
RANAU: Tiga remaja yang dilaporkan hilang di Ranau ditemui selamat di Sandakan.
Ketua Polis Daerah Ranau, Deputi Superintenden Simiun Lomudin yang mengesahkan ini berkata, ketiga-tiga remaja itu telah pergi ke Sandakan untuk mencari kerja.
“Hasil siasatan mendapati mereka naik bas ke Sandakan, bukan naik Perodua Viva,” katanya ketika dihubungi.
Terdahulu, pihak polis memohon bantuan orang awam mengesan keberadaan tiga orang remaja perempuan di daerah ini yang dilaporkan hilang.
Menurut polis, tiga remaja tersebut iaitu Christivy Holyen Hamdy, 12, Roxanne Abbygail Richard, 12, dan Valensia Mail, 15, telah keluar rumah pada 10 Mei, jam lebih kurang 7.30 malam untuk mengikuti latihan silat di SMK Ulu Sugut, Ranau.
Sehingga laporan polis dibuat pada 13 Mei, 2024, jam lebih kurang 8.48 malam, ketiga-tiga mereka masih belum pulang ke rumah.
Menurut laporan polis yang dibuat, lokasi terakhir mereka dilihat adalah di Pekan Ranau pada 13 Mei, 2024, sekitar jam 8.30 pagi turun dari bas mini berwarna putih dan mereka dijemput oleh seorang lelaki menaiki kereta jenis Perodua Viva dengan nombor pendaftaran palsu.
































