Fadillah Yusof ketika mempengerusikan Mesyuarat Majis Sains Negara di Putrajaya.
PUTRAJAYA: Mesyuarat Majis Sains Negara hari ini bersetuju dengan konsep pemerkasaan Ekonomi Biru menerusi kapasiti ekosistem lautan negara yang berdaya tahan dan sejahtera.
Menurut Utusan Malaysia, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) berkata, Ekonomi Biru juga mampu mewujudkan kemampanan ekonomi lautan yang terhasil melalui keseimbangan aktiviti ekonomi.
Menurutnya, Ekonomi Biru yang lestari dan berinovasi mampu menjana pulangan nilai daripada sektor marin dan maritim negara dengan potensi peningkatan sumbangan sumber marin dan lautan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
“Sektor marin dan maritim negara berpotensi menyumbang sehingga 31.5 peratus kepada KDNK pada tahun 2030 berbanding 21.3 peratus ketika ini.
“Justeru, pembabitan segera 13 kementerian dan agensi kerajaan berkaitan diharap dapat merealisasikan hasrat itu,” katanya sejurus selesai mesyuarat Majlis Sains Negara hari ini.
Mesyuarat yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof itu turut bersetuju supaya penyelarasan secara bersepadu diterajui oleh Kementerian Ekonomi supaya sesi libat urus dapat dilakukan dengan pihak berkepentingan termasuk kerajaan negeri.
Dalam pada itu, katanya, mesyuarat sama meluluskan Pelan Hala Tuju Penyelidikan, Pembangunan, Inovasi, Pengkomersialan dan Ekonomi Negara (RDICE) yang mengandungi tiga teras, enam strategi dan 20 pelan tindakan.
Katanya, strategi Pelan Hala Tuju RDICE itu bakal memanfaatkan rangkaian hab inovasi global, menggalakkan penggunaan indeks pengukuran tahap teknologi, pengenalan konsep Return on Value (ROV), memprofilkan institusi penyelidikan dan mengiktiraf kepentingan Technology Transfer Officer (TTO).
“Pelaksanaan Pelan Hala Tuju RDICE adalah secara berperingkat mulai tahun 2024 sehingga 2030 dan dijangka menyumbang RM9.21 trilion kepada KDNK menjelang tahun 2030.
Pada masa sama, katanya, Majlis Sains Negara turut mengambil maklum mengenai kepentingan Malaysia untuk membangunkan Ekosistem Industri Bahan Termaju Unsur Nadir Bumi (REE), yang mampu menyumbang sebanyak RM9.5 bilion kepada KDNK.
Jelasnya lagi, pihak Kementerian Kerja Raya (KKR) telah membangunkan Manual Penjanaan Perjalanan Malaysia 2020 (MyTripGen 2020), sebagai dokumen rujukan pengamal kejuruteraan trafik dalam membuat unjuran penjanaan trafik, berdasarkan cadangan pembangunan guna tanah baharu atau tambahan di sesuatu kawasan.
































