Rozi Muhamad
KOTA BHARU: Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) menjual tiket bagi tempat duduk terbuka RM10 pada aksi Liga Super musim 2024/2025 menentang Sabah FC di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini Jumaat ini.
Menurut Utusan Malaysia, Presidennya, Rozi Muhamad berkata, keputusan sebagai adalah sebagai tanda penghargaan dan terima kasih kepada penyokong serta peminat bola sepak Kelantan selain meraikan perlawanan pertama Sang Kijang Emas di halaman sendiri untuk musim ini.
Menurutnya, sebelum ini pihak kelab memutuskan harga tiket tempat duduk terbuka dijual pada harga RM15 sebagaimana yang diumumkan terdahulu.
“Saya bersama pihak pengurusan kelab berasa teruja melihat sokongan padu rakyat Kelantan kepada KDN FC. Kami lihat sangat ramai penyokong hadir memberi sokongan pada perlawanan pertama baru-baru ini walaupun kita bermain di gelanggang lawan.
“Jadi saya telah memutuskan untuk menurunkan harga tiket bagi tempat duduk terbuka bagi perlawanan pertama KDN FC di halaman sendiri sebagai tanda penghargaan, terima kasih serta mahu penyokong membanjiri stadium,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.
Rozi memberitahu, kehadiran penyokong memenuhi stadium sangat penting pada perlawanan kedua Liga Super nanti berikutan lawan yang dihadapi bukan calang-calang pasukan.
Katanya, sokongan padu dijangka mampu membakar serta menyemarakkan semangat juang barisan pemain KDN FC untuk memburu tiga mata penting pada pertemuan menentang skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee nanti.
“Jualan tiket bermula Khamis pada pukul 12 tengah hari sehingga pukul 10.30 malam di Kedai Barangan KDN FC.
“Pada Jumaat pula, hari perlawanan jualan tiket akan bermula pukul 9 pagi sehingga pukul 9.30 malam di kaunter tiket Stadium Sultan Muhammad IV, di sini,” ujarnya.
































