RIYADH: Pihak Berkuasa Arab Saudi untuk Data dan Kecerdasan Buatan menyediakan perkhidmatan teknikal dan digital baharu untuk laluan perjalanan jemaah haji di Mekah melibatkan tujuh negara termasuk Malaysia.
Usaha di bawah Program Pengalaman Jemaah Haji Kementerian Dalam Negeri itu sejajar dengan inisiatif Wawasan Saudi 2030.
Menurut Utusan Malaysia, Agensi Akhbar Saudi (SPA) melaporkan, jurutera dan juruteknik beroperasi di seluruh Maghribi, Indonesia, Malaysia, Pakistan, Bangladesh, Turkiye dan Ivory Coast bagi menyepadukan mereka dengan sistem yang digunakan pihak berkuasa.
Tugasnya termasuk membangunkan sistem teknikal peribadi yang memenuhi keperluan perkhidmatan, seperti pendaftaran jemaah dan beg mudah alih yang dilengkapi peranti pendaftaran biometrik bertujuan untuk memperkemas prosedur menunaikan ibadah rukun Islam kelima itu.
“Usaha pihak berkuasa adalah sebahagian daripada sokongan meluas yang diberikan oleh Putera Mahkota Mohammed Salman untuk meningkatkan bidang data dan kecerdasan buatan (AI), merangsang pertumbuhan mereka dan memaksimumkan faedahnya.
“Dilancarkan pada 2019, skim itu membolehkan jemaah haji memenuhi semua keperluan visa, kastam dan kesihatan di lapangan terbang negara asal mereka, sekali gus menjimatkan masa menunggu sebelum dan semasa ketibaan di tanah suci,” jelas laporan itu.
Proses itu dilaporkan bermula dengan isu visa elektronik dan pengumpulan maklumat individu, diikuti dengan prosedur pasport yang diperkemas sebelum berlepas.
Menurut laporan itu, pelekat diletakkan pada bagasi dan pasport yang mengandungi maklumat mengenai data penerbangan dan tempat kediaman setiap jemaah dengan perkhidmatan penandaan dijalankan oleh pasukan khusus yang bertugas di bawah seliaan Kementerian Haji dan Umrah.
Pasukan di Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdulaziz di Jeddah dan Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Mohammad bin Abdulaziz di Madinah menerima bagasi, yang kemudiannya dihantar ke tempat penginapan jemaah haji.
Ibadah haji tahun ini dijangka bermula pada atau sekitar 14 Jun dan berakhir pada 19 Jun.
































