Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah) bersama Setiausaha Agung Liga Dunia Muslim (MWL) yang juga Pengerusi Pertubuhan Ulama Islam, Sheikh Dr Mohammed Abdulkarim Al-Issa (dua, kanan) merasmikan Persidangan Antarabangsa Ketua-Ketua Agama 2024 kelmarin.
PETALING JAYA: Ketua semua agama perlu lebih efektif memainkan peranan masing-masing untuk menegak keadilan sejagat kerana rakyat sudah muak dengan perbalahan dalam kalangan pemimpin politik yang tiada kesudahan.
Menurut Utusan Malaysia, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, situasi tersebut menyebabkan peranan tersebut itu kini perlu dimainkan pemimpin semua agama.
” Mereka boleh bercakap di atas suara mereka tentang demokrasi, hak asasi manusia. Kita tak tahu nak percaya siapa lagi.
“Jadi biarlah ketua agama memainkan peranan yang lebih berkesan, galakkan pandangan… anda mungkin seorang pemimpin Buddha, anda mungkin seorang pemimpin Hindu. Anda mungkin seorang pemimpin Islam atau pemimpin Kristian. Keadilan tetap keadilan.
“Jangan sekali-kali benarkan ketidakadilan berlaku terhadap sesiapa,” katanya ketika merasmikan Persidangan Antarabangsa Ketua-Ketua Agama 2024 di Sunway Resort Hotel, di sini, kelmarin.
Persidangan kelmarin menarik penyertaan hampir 2,000 ulama dan cendekiawan dari 57 negara.
Ia juga dihadiri Setiausaha Agung Liga Dunia Muslim (MWL) dan Pengerusi Pertubuhan Ulama Islam, Sheikh Dr Mohammed Abdulkarim Al-Issa.
Anwar sebelum ini berkata, persidangan ini sangat penting kerana ia satu daripada isu mendesak pada masa ini dengan pandangan hidup yang dikaitkan dengan ketidaksepakatan, perselisihan dan perpecahan.
Dengan tema persidangan ‘Kesatuan Dalam Kepelbagaian’ Perdana Menteri berkata, semua pemimpin agama perlu mengambil peluang untuk menyebarkan nilai kemanusiaan sebenar berikutan pembunuhan di Gaza.
“Di manakah agama kita jika kita tidak mempunyai belas kasihan? Dan Ihsan dan Rahmah, di manakah agama kita yang kita tidak bercakap tentang keadilan? Dan apakah makna kepercayaan agama apabila kita membenarkan ketidakadilan yang dilakukan terhadap rakyat kita?” soalnya.
Malah, kata beliau, mesej mengenai keadilan di Gaza sangat jelas di mana ia harus dihormati dan prinsip ini teguh tidak mengira mana-mana pihak.
“Mesej ini harus lantang dan jelas kepada rakan-rakan saya di sini dan di luar negara, di timur dan barat, bahawa ini mesti dihormati. Sama ada orang Islam adalah majoriti di Malaysia atau orang Islam adalah minoriti di tempat lain, mana-mana pihak tidak boleh mengharapkan kami untuk melakukan keadilan kerana anda melakukan penderaan dan ketidakadilan yang teruk di tempat lain,” ujarnya.
Mengambil contoh keadaan di Malaysia, Anwar berkata, 60 peratus rakyat di negara ini adalah Islam dan ia adalah agama Persekutuan.
Namun dalam masa sama, kata Anwar, Malaysia tidak menafikan hak bangsa lain dengan terus memelihara bagi menjamin keadilan seluruhnya.
“Kami menghormati hak setiap warganegara, Islam atau Buddha atau Kristian atau Hindu. Mereka mempunyai semua hak di negara ini. Jadi apa mesejnya? Adakah ini amalan kepercayaan yang dipatuhi oleh semua? Sudah tentu tidak,” ujarnya.
Oleh itu, kata Anwar, persidangan kali ini sangat penting dengan menyifatkan naratif baharu dalam perkara ini amat diperlukan.
“Orang yang tidak jujur dari segi intelek akan mendakwa bahawa keretakan ini adalah hasil yang tidak dapat dielakkan daripada perang budaya. Begitu juga, golongan yang rosak akhlak dalam masyarakat..kita akan menyokong, mendapat manfaat daripada apa yang melanda dunia hari ini.
“Dan akhirnya penilaian itu bukan dari anda dari kelas mana, bukan warna anda, bukan kekayaan anda. Adakah tahap dedikasi anda, kehambaan anda dan ketakwaan anda? Perbezaan itu diakui, namun saya tidak memilih untuk mempunyai warna ini,” kata beliau.