Teresa Kok
PETALING JAYA: Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok menerima surat ugutan berserta dua butir peluru, semalam.
Menurut Utusan Malaysia, menerusi hantaran di laman Facebook, pemimpin DAP itu memaklumkan, ancaman berkenaan diperoleh menerusi peti surat di kediamannya, semalam.
Beliau berkata, kandungan sampul surat itu mempunyai dua butir peluru dan satu kertas putih saiz A4 bertulis kata-kata kesat dan berbau perkauman.
“Saya kemudian membuat laporan polis dan serahkan surat dan peluru kepada polis di Balai Petaling.
“Polis juga datang ke bahagian peti surat di kondominium saya untuk menjalankan pemeriksaan,” katanya, hari ini.
Pada masa sama, Teresa mengakui hairan dan tidak memahami kenapa beliau menerima peluru dan surat ugutan seperti itu.
“Saya berterima kasih kepada pihak polis atas tindakan pantas selepas saya buat laporan. Saya yakin pihak polis dapat membantu saya dalam kes ini,” katanya.































