Joniston bersalaman dengan Ketua Pegawai Perhubungan Ahli Parlimen Tuaran, Jinik Boliking sebaik tiba di Pesta Kaamatan Kampung Tiong Ratau kelmarin.
KOTA KINABALU: Sungguh ironis apabila Jawatankuasa Kemajuan Kampung Madani (JKDM) di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Persekutuan diperluaskan ke Sabah tanpa persetujuan Kerajaan Sabah.
ADUN Kiulu, Datuk Joniston Bangkuai berkata, perkara ini menimbulkan persoalan tentang kerelevanan JKDM di Sabah dan sama ada ia mempunyai motif politik, lebih-lebih lagi Umno Sabah bukan lagi sebahagian daripada pentadbiran pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Beliau mempersoalkan masa inisiatif itu, mencadangkan sekiranya ia benar-benar bertujuan memberi manfaat kepada rakyat negeri ini, ia sepatutnya dilaksanakan dengan penglibatan Kerajaan Sabah.
Bercakap ketika melancarkan Pesta Kaamatan Lembah Mukim Kiulu kelmarin, Joniston turut menyatakan pertindihan peranan antara JKDM dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) sedia ada, sambil menambah tindakan seumpama itu akan memecahbelahkan rakyat.
“Kenapa kita perlukan dua badan untuk menguruskan peruntukan untuk kampung? Bukankah lebih baik kita beri autonomi kepada Kerajaan Sabah supaya kita dapat menyalurkan dana mengikut keperluan di kawasan masing-masing?
“Biar Kerajaan Pusat menyalurkan dana kepada Kerajaan Negeri, dan memperuntukkan kepada setiap JKKK untuk menjalankan kerja-kerja pembangunan di kawasan masing-masing. Itulah maksud autonomi,” kata Joniston, yang juga Ketua Penerangan GRS.
Beliau berkata, ramai rakyat Sabah berpandangan bahawa langkah penubuhan JKDM adalah sama dengan menentang usaha Sabah untuk mendapatkan autonomi yang Umno Sabah dakwa ia juga perjuangkan.
Joniston, yang juga Ketua Penerangan Parti Bersatu Sabah (PBS), menjawab kritikan berikutan ulasannya baru-baru ini mengenai kerelevanan penubuhan JKDM di Sabah, sambil menambah bahawa beliau hanya meminta penjelasan.
“Saya cuma ingin tahu rasional langkah JKDM, tetapi mereka bertindak seperti ‘cacing kepanasan’ (rasa bahang). Saya juga tertarik kenapa jawatankuasa ini tidak dipanjangkan ke Sarawak? Adakah kerana tiada Umno di sana?” tanya beliau.
































