Imam Mohd Nazri Ali mengetuai solat jenazah dua anggota polis yang terkorban dalam serangan di Balai Polis Ulu Tiram di IPK Johor Bahru semalam.
PETALING JAYA: Ideologi kumpulan radikal masih bertapak di negara ini kerana pemikiran ekstremisme masih hidup dan diwarisi antara generasi keluarga.
Meskipun ramai berpandangan organisasi pelampau sudah tiada kerana dihapuskan pihak berkuasa, saki baki pemikiran radikal masih wujud dan paling membimbangkan menunggu masa untuk bangkit semula.
Dianggarkan terdapat 20 kumpulan radikal termasuk Jemaah Islamiyah (JI) bertapak di negara ini sejak merdeka yang merangkumi kategori pelampau agama, politik dan ajaran sesat.
Menurut Utusan Malaysia, Penolong Profesor Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (ISTAC-UIAM), Dr. Ahmad El-Muhammady berkata, secara zahirnya saki baki pemikiran radikal masih wujud walaupun anasir keganasan sentiasa dipantau pihak keselamatan di samping bekas pengikut menjalani program pemulihan.
Kata pakar antikeganasan itu, selepas beberapa dekad, segelintir pengikut dikaitkan dengan kumpulan pelampau hanya menunggu masa untuk muncul semula dengan melihat perkembangan semasa kerana kecewa terhadap nasib penindasan umat Islam setiap masa.
Beliau menyifatkan kejadian serangan di Balai Polis Ulu Tiram, Johor yang mengorbankan nyawa dua anggota polis ibarat ‘sebatang pokok yang akarnya masih hidup walaupun diracun dan dipotong dahannya’.
“Mengapa timbul semula selepas beberapa dekad? Ada beberapa sebab walaupun majoriti bekas pengikut kembali ke pangkal jalan tetapi mungkin ada terlepas pandang kerana tidak dipantau secara dekat memandangkan mereka kembangkan secara secara low profile. Saya nampak ia berlaku secara warisan generasi iaitu daripada bapa turun ke anak.
“Seterusnya kalau lihat di peringkat serantau, ada percubaan hidupkan walaupun tidak nampak. Malah di negara jiran, ada percubaan menghidupkan JI.
“Faktor ketiga adalah isu antarabangsa menyumbang kepada tercetusnya kumpulan ini. Ia disebabkan kecewa apa berlaku kerana umat Islam ditindas dan pemimpin tidak berbuat apa, secara tidak langsung mewujudkan satu ekosistem radikal ke arah seseorang itu untuk terlibat semula,” katanya kepada Mingguan Malaysia.
Kelmarin, negara dikejutkan dengan serangan berdarah oleh seorang pemuda disyaki ahli kumpulan JI di Balai Polis Ulu Tiram sehingga menyebabkan dua anggota polis maut manakala seorang cedera.
Dalam serangan kira-kira pukul 2.30 pagi itu, suspek berusia 21 tahun memakai topeng dan berpakaian gelap dipercayai telah membuat persediaan rapi bagi melakukan serangan berkenaan turut maut selepas ditembak oleh seorang anggota polis yang cedera di bahu semasa membalas tembakan suspek.
Mengulas lanjut, Ahmad El-Muhammady berkata, meskipun motif serangan itu masih disiasat polis namun tidak menolak ia berkemungkinan dengan faktor balas dendam dan persekitaran semasa.
Justeru, beliau yang pernah terlibat program pemulihan individu ditahan di bawah undang-undang keganasan menegaskan, insiden tersebut tidak boleh dipandang ringan dan wajar diberikan perhatian serius bukan sahaja pihak berkuasa tetapi masyarakat awam.
Katanya, langkah menangani anasir radikal memerlukan pendekatan berhemah dan tidak hanya tertumpu kepada undang-undang semata-mata.
“Soft approach merupakan penyelesaian jangka panjang dan perlu diberi perhatian kesedaran dan pemulihan dalam kalangan bekas-bekas pengikut kumpulan radikal. Ini perlu ada pemantauan berterusan segala gerak geri mereka yang mungkin kita terlepas pandang.
“Malah masyarakat sendiri perlu memainkan peranan, laporan segera kepada pihak berkuasa jika mengesyaki jiran-jiran melakukan amalan di luar kebiasaan dan penyebaran dakyah di media sosial. Usaha ini menuntut kerjasama semua pihak dan bukannya polis sahaja,” katanya.
Bertindak sendirian
Suspek yang bertindak menyerang Balai Polis Ulu Tiram, di sini awal pagi kelmarin adalah individu yang bertindak bersendirian dan tidak terlibat dengan agenda mana-mana kumpulan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, suspek bertindak demikian dipercayai didorong oleh motivasi yang difahaminya.
Katanya, perkara itu disahkan setelah siasatan secara menyeluruh dan penemuan-penemuan bukti termasuk selesai menemubual 46 individu yang dipercayai mempunyai kaitan dengan serangan itu.
“Siasatan awal yang dijalankan mendapati suspek adalah lone wolf, bertindak sendirian, dia didorong oleh motivasi yang difahami, ini kerana dia ini tak bercampur orang.
“Oleh kerana itu kita boleh buat kesimpulan awal ini yang penyerang ini bertindak sendirian. Ia terpisah daripada satu misi besar atau kumpulan terancang, itu tak ada,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.
Yang hadir sama Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dan Ketua Polis Johor, Komisioner M. Kumar.
Saifuddin Nasution berkata, polis sudah mengambil keterangan 46 individu bagi membantu siasatan kes serangan berdarah di Balai Polis Ulu Tiram.
Katanya, individu yang diambil keterangan itu disiasat sama ada mempunyai kaitan dengan rangkaian kumpulan fahaman JI atau sebaliknya sebelum dibebaskan setelah keterangan dirakam.
Dalam pada itu, Saifuddin mengingatkan orang ramai dan pengamal media supaya tidak mengaitkan serangan yang berlaku dengan mana-mana agama.
Tegasnya, siasatan yang dijalankan adalah berlandaskan semakan profil dan pangkalan data Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Polis tentunya akan menjalankan siasatan mengikut jalur undang-undang dengan mengambil kira semua perkara. Saya juga ingin maklumkan, siasatan polis bermula selepas insiden tanpa tangguh.
“Susulan itu, sejumlah individu sudah dipanggil untuk kita menjalankan siasatan bagi mengesahkan motif kejadian. Jadi kita gesa masyarakat dan media tak buat spekulasi, elak buat begitu,” katanya.
Jelas beliau, pihaknya memohon supaya laporan berita yang dihasilkan fokus kepada melaporkan fakta kes seperti yang disebut oleh polis tanpa perlu mengaitkan kejadian berkenaan dengan sentimen agama.
Kediaman suspek sunyi
Dalam pada itu, Lokasi rumah dipercayai kediaman suspek yang menyerang Balai Polis Ulu Tiram, didapati sunyi dan lengang.
Tinjauan Mingguan Malaysia di kawasan berkenaan mendapati, pintu dan tingkap beberapa unit kediaman di kawasan itu tertutup rapi seolah-olah tidak berpenghuni.
Bagaimanapun, beberapa helai pakaian kelihatan masih tergantung di ampaian di beberapa unit rumah.
Tinjauan itu juga mendapati tiada seorang pegawai dan anggota polis yang berkawal di lokasi berkenaan.
Jarak kawasan kediaman tersebut dengan Balai Polis Ulu Tiram hanya sekitar 7 kilometer.
Laluan masuk ke kawasan tersebut merupakan laluan sama dengan ladang sawit yang tidak diusahakan di sebelah kiri dan kanan serta sudah pun dipenuhi semak setinggi lebih satu meter.
Sementara itu, keadaan Koperal Mohd, Hasif Roslan yang cedera ditembak dalam insiden itu dilaporkan sudah stabil.
Perkara itu dimaklumkan Saifuddin selepas melawat Mohd. Hasif di Hospital Sultan Ismail (HSI), semalam.
“Alhamdulillah syukur, keadaan Koperal Hasif sudah stabil. Saya sempat beri kata-kata semangat dan sampaikan sedikit sumbangan kepada beliau dan juga isterinya.
“Semoga beliau terus kuat semangat dan mampu meneruskan tugas semula,” katanya.
Tujuh suspek direman
Tujuh suspek yang kesemuanya merupakan warga tempatan yang ditahan berhubung serangan di Balai Polis Ulu Tiram, di sini awal pagi kelmarin direman tujuh hari, bermula semalam.
Perintah reman terhadap semua suspek yang berusia antara 19 hingga 62 tahun itu dikeluarkan Majistret, Hidayatul Syuhada Samsudin.
Proses berkenaan dilakukan di Ibu Pejabat Polis Daerah Seri Alam, dekat sini dan bukannya di Mahkamah Majistret Johor Bahru seperti biasa dipercayai bagi faktor keselamatan.
Antara yang direman termasuklah bapa kepada suspek yang maut ditembak dalam kejadian tersebut, serta dua penuntut institusi pengajian tinggi swasta (IPTS).
Kesemua suspek akan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Bustaman Menon Abdul Hamid Menon, Sulaiman Zamani dan Muhammad Zahier Rosli akan mewakili kesemua tertuduh.
Selamat dikebumikan
Jenazah Allahyarham Konstabel Muhammad Syafiq Ahmad Said selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu 8, jalan Gambang, Kuantan.
Jenazah anak ketujuh daripada lapan beradik itu tiba di tanah perkuburan kira-kira pukul 5.17 petang selepas disolatkan kali kedua di kediaman ibu bapanya di Taman Sri Mahkota Jaya, Jaya Gading.
Sementara itu, jenazah Allahyarham Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Poh Tambahan, Bidor, Perak.





























