Balai Polis Dato Keramat di George Town, Pulau Pinang.
GEORGE TOWN : Seorang lelaki diberkas ketika cuba menyerang seorang anggota polis di Balai Polis Dato Keramat di sini, awal pagi tadi.
Menurut Utusan Malaysia, sumber memberitahu, suspek yang berusia 35 tahun ketika itu berseorangan dan dikatakan menunggang motosikal semasa datang ke balai polis tersebut.
Katanya, difahamkan, ketika kejadian, lelaki warga tempatan itu juga berada di bawah pengaruh alkohol.
“Suspek ada mengalami kecederaan kecil semasa tangkapan dibuat dan dia kini menerima rawatan lanjut di Hospital Pulau Pinang.
“Menurut polis, suspek juga telah direman selama empat mulai hari ini bagi membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Dalam pada itu, difahamkan juga, satu kenyataan rasmi akan dikeluarkan oleh polis berhubung kejadian berkenaan dalam masa yang terdekat.





























