Projek ini dirintis oleh syarikat permainan anjing, Bark.
Setiap syarikat penerbangan mempunyai polisi yang berbeza mengenai haiwan peliharaan seperti anjing sebelum dibenarkan menaiki pesawat.
Contohnya, American Airlines membenarkan anjing bersaiz kecil dibawa dalam beg galas atau alat pembawa dan diletakkan di bawah tempat duduk hadapan, lapor USA Today.
Anjing lebih besar pula dibenarkan untuk diletakkan dalam ruang kargo, namun, ruang yang tidak selesa boleh memberi tekanan kepada haiwan kesayangan itu.
Usah bimbang buat pemilik anjing kerana bermula bulan ini, syarikat penerbangan di Amerika Syarikat, Bark Air menyediakan perkhidmatan istimewa buat penumpang membawa bersama anjing peliharaan mereka.
Projek itu dirintis oleh syarikat permainan anjing, Bark yang menjalinkan kerjasama dengan syarikat perkhidmatan sewa jet pertama di dunia, Bark Air.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Pegawai Eksekutif Bark, Matt Meeker berkata, pihaknya mahu mencipta pengalaman yang benar-benar mengutamakan keselesaan anjing.
Jelasnya, Bark Air bukan sahaja membenarkan anjing menaiki pesawat, bahkan memberi layanan VIP kepada si comel itu.
“Antaranya, anjing akan menikmati hidangan makanan yang dimasak oleh cef di lokasi.
“Penumpang Bark Air juga akan menikmati proses daftar masuk yang mudah dan bertemu dengan anjing lain,” katanya.
Petugas Bark Air akan memastikan anjing sedia untuk bersosial dan menyesuaikan diri dengan persekitaran yang baik.
Setiap penerbangan akan menjalani sesi persediaan ‘Dogs Fly First’ yang merangkumi ‘muzik dan warna yang disukai oleh anjing’.
Bagi memastikan pengalaman penerbangan lebih mudah dan menyeronokkan, anjing akan mempunyai akses kepada pelbagai bantuan seperti penutup telinga kalis bunyi dan jaket penenang.
Semasa kapal terbang berlepas dan mendarat, anjing diberi minuman pilihan bagi membantu telinga mereka menyesuaikan diri dengan tekanan dan suasana di kabin.
HARGA TIKET
Bagaimanapun, penumpang perlu membayar harga tiket yang agak tinggi bagi merasai penerbangan mesra anjing.
Buat masa ini, tiket untuk seekor anjing dan seorang penumpang bermula dari AS$6,000 (RM28,600) bagi perjalanan sehala.
Dari New York ke Lapangan Terbang Stansted di London, ia akan menelan kos AS$8,000 (RM38,000) sehala dan ke Lapangan Terbang Van Nuys di Los Angeles sebanyak RM28,600 sehala.
Penerbangan Bark Air pertama akan berlepas pada 23 Mei depan. Setakat ini, hanya terdapat dua laluan penerbangan yang tersedia, kedua-duanya dari Lapangan Terbang Westchester County di New York.
































