Kucing diberi nama Jingoudiao menjadi punca rumah pemiliknya di Sichuan terbakar awal bulan ini.
BEIJING: Seekor kucing di China secara tidak sengaja menghidupkan dapur elektrik di rumah pemiliknya hingga menyebabkan kebakaran besar dan kerugian berjumlah lebih 100,000 yuan (RM65,885).
Menurut Utusan Malaysia, South China Morning Post melaporkan, pemilik kucing itu mendapat panggilan telefon pada 4 April lalu daripada kakitangan pengurusan hartanah, mengatakan rumahnya terbakar.
Pemilik yang hanya dikenali sebagai Dandan bergegas pulang ke flatnya di wilayah Sichuan di barat daya China dan menyedari kucing peliharaannya bertanggungjawab atas kebakaran itu.
Kucing bernama Jingoudiao itu bermain di dapur dan secara tidak sengaja terpijak panel sentuh induksi lalu menghidupkannya.
Kesilapan itu menyebabkan api marak dan membakar seluruh tingkat pertama lotengnya.
Anggota bomba yang tiba untuk memadam kebakaran menemui kucing British Shorthair emas itu bersembunyi di dalam kabinet di tingkat atas dengan berlumuran abu tetapi tidak cedera.
Bagaimanapun, Dandan melihat sisi lucu insiden berkenaan dan mengubah Jingoudiao menjadi bintang dalam talian dengan menukar nama akaun media sosial Douyin miliknya kepada ‘kucing paling nakal Sichuan’ dan memastikan kemunculan haiwan itu pada setiap sesi penstriman langsungnya.
Dandan turut berseloroh ketika sesi siaran langsung itu mengatakan dia berbuat demikian bagi meminta kucingnya bekerja untuk membayar hutangnya dan juga meletakkan label ‘pembakar’ pada haiwan itu.
Beberapa hari kemudian, Dandan menyiarkan surat permohonan maaf dalam talian, ditandatangani dengan cap jari dan cap kaki Jingoudiao.
Dandan bagaimanapun mengakui kesilapannya kerana terlupa untuk mematikan suis dapur dan berikrar untuk memberi perhatian kepada keselamatan kebakaran pada masa hadapan.
Siaran lucunya itu tular di media sosial dan menarik perhatian banyak warganet yang turut berkongsi tabiat nakal haiwan peliharaan mereka.






























