SEREMBAN : Polis Negeri Sembilan telahpun memanggil seramai 11 individu untuk diambil keterangan dan membantu siasatan susulan satu kegiatan keagamaan berkenaan kerohanian yang mencurigakan dikesan di Nilai di sini.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ahmad Dzaffir Mohd. Yussof berkata, siasatan yang dijalankan juga akan melihat kepada semua sudut termasuk jika terdapat unsur-unsur ajaran salah.
“Siasatan masih diteruskan, bagaimanapun, tiada tangkapan dibuat setakat ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Semalam, beliau dalam kenyataan berkata, polis sedang menjalankan siasatan terperinci susulan aduan bahawa terdapatnya aktiviti mencurigakan di sebuah pusat keagamaan dan kerohanian di Nilai di sini.
Jelas Ahmad Dzaffir, pihaknya mengesahkan aduan berkaitan perkara itu diterima oleh pihak polis kontinjen Negeri Sembilan pada hari Jumaat lalu.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang awam agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan.
“Kes disiasat dibawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja mengaibkan dengan niat hendak membangkitkan pecah keamanan dan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan iaitu mendatangkan ugutan jenayah,” katanya.
Sebelum ini tular di media sosial, mengenai aduan berkaitan sebuah pusat keagamaan dan kerohanian di Mantin, Nilai di sini yang didakwa bertentangan dan mampu menggugat kedaulatan negara.
Sementara itu, Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun menggesa supaya siasatan penuh dan terperinci perlu segera perlu dilakukan pihak berkuasa susulan aduan berkenaan.
“Saya belum lagi mendapat laporan penuh namun begitu berharap perkara ini dapat disiasat sepenuhnya,” katanya ringkas.
Beliau ditemui pemberita pada Majlis Tandatangan Letter of Intent JBPM-HRD Corporation dan Majlis Perasmian Seminar Organisasi Keselamatan Kebakaran (OKK) Bagi Premis Ditetapkan Tahun 2024 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sembilan di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di Nilai hari ini.






























