Hajiji (tengah) bersama Armizan (kanan) dan Ghulamhaidar (kiri) semasa Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di Papar hari ini.
PAPAR: Penubuhan Pusat Jantung Negara di Sabah dilihat akan membantu meningkatkan lagi mutu perkhidmatan kesihatan di negeri ini.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor berkata, dengan adanya kemudahan Pusat Jantung Negara yang ditempatkan di Hospital Queen Elizabeth (HQE), Kota Kinabalu itu nanti, rakyat di negeri ini tidak perlu lagi ke Kuala Lumpur bagi mendapatkan rawatan.
“Kita mengucapkan berbanyak terima kasih kepada kerajaan Persekutuan khususnya kepada Perdana Menteri kerana memahami keperluan negeri Sabah dan juga kepentingan rakyat kita di sebelah wilayah timur ini.
“Dengan pengumuman itu, kita amat senang hati kerana ini akan memudahkan pesakit jantung tidak perlu lagi dihantar ke Kuala Lumpur tetapi hanya boleh dilakukan di Kota Kinabalu,” katanya ketika diminta mengulas tentang pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai penubuhan Pusat Jantung Negara Sabah.
Beliau berkata demikian semasa ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd. Ali dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawang, Dato’ Sri Ghulamhaidar Khan Bahadar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pengalat, hari ini.
Menurut beliau, penubuhan pusat tersebut pastinya akan meningkatkan lagi perkhidmatan kesihatan di Sabah.
“Tentu ini yang kita mahukan kerana aspek kesihatan cukup penting bagi kita bukan sahaja kesihatan pendidikan dan sebagainya. Pihak kerajaan Persekutuan amat memahami jadi, ini amat kita hargai,” katanya.
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meluluskan peruntukan RM80 juta bagi menubuhkan Pusat Jantung Negara di Hospital Queen Elizabeth (HQE) II.
Peruntukan segera itu akan membolehkan blok khas diwujudkan untuk menempatkan Pusat Jantung Negara yang akan dilengkapi dengan tambahan tiga tenaga pakar dan jururawat terlatih.


































