KALIMANTAN: Kerajaan akan memastikan proses perpindahan 32,937 penjawat awam ke Nusantara di Kalimantan Timur dilakukan secara berperingkat sehingga 2029.
Menurut Utusan Malaysia, Menteri Pemerkasaan Aparatur Negara dan Reformasi Birokrasi, Abdullah Azwar Anas berkata, penjawat awam akan dipindahkan dalam tiga peringkat berdasarkan keutamaan.
“Kerajaan juga menyediakan beberapa rancangan untuk memenuhi keperluan penjawat awam di ibu negara baharu termasuk pengambilan baharu khususnya dari Kalimantan Timur.
“Kita akan beri kuota khas untuk calon tempatan,” katanya lapor Antara.
Menurut beliau, kerajaan juga menyediakan penggiliran penjawat awam daripada kerajaan wilayah itu.
Dalam pada itu, Kementerian Kerja Raya dan Perumahan Awam menyatakan pembinaan 47 bangunan kediaman bertingkat akan siap menjelang akhir tahun ini.
Jelasnya, 12 daripada bangunan itu dijangka siap digunakan pada September ini.
Nusantara bakal menggantikan Jakarta sebagai ibu negara Indonesia.
Ia sebahagian daripada rancangan Presiden Indonesia, Joko Widodo untuk mengagihkan aktiviti ekonomi ke seluruh negara itu dan mengurangkan kepadatan penduduk serta kesesakan lalu lintas di Jakarta.
Pembangunan Nusantara yang dijangka menelan belanja AS$32 bilion (RM128 bilion) dilakukan secara berperingkat, bermula dari 2022 hingga 2045.
Nusantara menjanjikan sebuah ‘kehidupan’ yang lebih baik. Antaranya, kerajaan Indonesia menyasarkan untuk menempatkan semula sehingga 1.9 juta orang ke Nusantara menjelang 2045.
Nusantara juga bakal menjadi bandar raya yang mampan. Ia akan menjadi bandar pertama di Indonesia yang mengguna pakai 100 peratus tenaga boleh dibaharui menjelang 2045.