WASHINGTON: Dua orang terbunuh dan enam lagi cedera dalam kejadian tembakan di sebuah parti di bandar Memphis di Amerika Syarikat (AS).
Menurut Utusan Malaysia, tembakan itu berlaku di sebuah parti yang dihadiri kira-kira 300 orang berhampiran Taman Orange Mound di Tennessee.
“Dua orang ditemui mati di tempat kejadian, dan seorang daripada enam yang cedera berada dalam keadaan kritikal di hospital,” kata Jabatan Polis Memphis di platform media sosial X.
Polis berkata, belum ada suspek yang berjaya ditahan dan punca kes tembakan itu masih disiasat.
“Siasatan ke atas tembakan itu masih diteruskan. Jabatan kami sudah menerima rakaman video dari tempat kejadian dan sedang mengesan individu yang bertanggungjawab,” kata Ketua Polis Memphis, C.J. Davis.
Menurut Arkib Keganasan Senjata, insiden maut itu meningkatkan jumlah senarai lebih 120 tembakan besar-besaran yang dilaporkan di AS setakat tahun ini.


































