LOS ANGELES: Album penyanyi pop terkenal, Taylor Swift, The Tortured Poets Department (TTPD) mencipta sejarah apabila menjadi album yang paling banyak distrim di platform Spotify bagi tempoh kurang 12 jam.
Menurut Utusan Malaysia, album yang mengandungi 31 buah lagu itu membenamkan rekod terdahulu dipegang penyanyi, Beyonce, menerusi album Cowboy Carter yang merekodkan lebih 300 juta penstriman bagi tempoh minggu pertama ia dilancarkan.
TTPD merupakan album kesebelas Taylor hasil kerjasama beberapa penggiat seni hebat seperti Post Malone, Jack Antonoff dan Aaron Dessner.
Dalam sebuah hantaran di media sosial, penyanyi Cruel Summer ini menjelaskan album tersebut diinspirasikan daripada beberapa kejadian dan momen singkat dalam hidupnya.
“Fasa ini sudah berakhir. Bab ini sudah ditutup dan selesai. Tiada lagi yang perlu dibalas dan semua luka telah sembuh.
“Bila direnungkan lebih dalam, banyak yang terjadi adalah kerana perbuatan kita sendiri.
“Ketika menceritakan kisah yang menyedihkan ini, kita bagai bebas daripadanya dan yang tersisa hanyalah puisi yang menyiksakan,” tulisnya.
Walaupun tidak diceritakan secara jelas, Swift dikatakan telah menyebut beberapa watak dalam album berkenaan antaranya bekas kekasihnya termasuk Joe Alwyn, Matty Healy, Travis Kelce selain bintang realiti, Kim Kardashian.
Dalam perkembangan sama, video muzik bagi lagu pembuka album ini, Fortnite, akan menemui penonton Jumaat depan. video berkenaan turut menampilkan rakan kolaborasinya, Post Malone.


































