Dr. Asists Sanna
KOTA KINABALU: Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) ini mengesahkan satu kes penyakit melioidosis dikesan di Padang Ragbi, Tanjung Aru, yang dinotifikasikan pada 11 Mac 2024.
Pengarah JKNS, Datuk Dr. Asits Sanna memaklumkan perkara ini dalam satu kenyataan hari ini, merujuk kepada laporan dalam media sosial Facebook berkenaan Kawalan Persekitaran Bagi Penyakit Berjangkit Melioidosis di lokasi tersebut.
Beliau berkata, sampel tanah telah diambil di lokaliti berkenaan berdasarkan pergerakan kes yang pernah bermain ragbi di padang ragbi tersebut.
“Satu sampel didapati positif dengan bakteria Burkholderia pseudomallei iaitu agen penyebab kepada penyakit melioidosis. Pesakit telah memberikan sejarah mengalami luka di bahagian kaki semasa bermain ragbi yang mungkin menyebabkan jangkitan kepada beliau.
“Sehingga Minggu Epidemiologi (ME) ke-14 tahun 2024, sebanyak 44 kes melioidosis telah didaftarkan di seluruh negeri Sabah. Ini merupakan peningkatan sebanyak 12.8% berbanding dengan jumlah kes yang dilaporkan pada ME yang sama pada tahun 2023 iaitu sebanyak 39 kes.
“Enam daerah tertinggi yang melaporkan kes melioidosis adalah Sandakan dengan 12 kes, Kota Kinabalu (11), Papar (5), Penampang (5), dan masing-masing dua kes di Sipitang serta Keningau,” katanya.
Dr. Asits berkata, penyakit melioidosis adalah sejenis penyakit yang disebabkan oleh jangkitan bakteria Burkholderia pseudomallei yang terdapat di permukaan air dan tanah.
“Manusia boleh dijangkiti penyakit ini apabila terdedah secara langsung kepada tanah dan sumber air yang tercemar dengan bakteria tersebut. Jangkitan sering berlaku terutamanya sewaktu musim hujan. Transmisi jangkitan boleh berlaku melalui saluran pernafasan (debu atau titisan air yang tercemar), terminum air yang tercemar atau melalui luka di kulit.
“Golongan yang berisiko tinggi adalah mereka yang menghidap penyakit kronik seperti kencing manis, penyakit hati, sakit buah pinggang, talasemia, kanser atau lain-lain keadaan daya tahan (imuniti) badan yang rendah.
“Antara gejala yang mungkin dialami adalah seperti demam yang tinggi, sakit sendi, batuk, sakit dada, kudis, bisul, nanah, sakit kepala, tiada selera makan, dan rasa lesu seluruh badan.
“Penyakit ini boleh dirawat dengan menggunakan antibiotik tertentu. Rawatan awal dengan antibiotik adalah perlu bagi mengelakkan pesakit, terutamanya golongan berisiko tinggi, daripada mendapat jangkitan yang lebih teruk dan mengelakkan daripada kematian,” jelasnya.
Beliau menasihati orang ramai untuk mengelakkan pendedahan kepada tanah dan sumber air yang tercemar terutamanya mereka yang mempunyai luka pada permukaan kulit serta mempunyai penyakit kronik seperti kencing manis dan sakit buah pinggang.
“Langkah-langkah kawalan lain adalah penggunaan kasut kalis air, sarung tangan, dan pelitup muka bagi mereka yang terlibat dengan kerja-kerja yang terdedah kepada sumber tanah dan air tercemar.
“Jika terdapat sebarang luka pada anggota badan, cuci dan balut luka dengan sempurna. Segera dapatkan rawatan sekiranya demam atau mengalami gejala selepas terdedah kepada tanah atau air tercemar.”
Dr. Asits berkata, JKNS sentiasa memantau kejadian penyakit melioidosis dan mempertingkatkan aktiviti promosi kesihatan kepada masyarakat berkaitan dengan langkah-langkah kawalan dan pencegahan.


































