Tangkap layar video tular seorang wanita meletakkan serbuk racun ke dalam air minuman rakan sekerjanya.
BEIJING: Seorang wanita China ditahan selepas cuba meracun rakan sekerjanya yang hamil semata-mata untuk menghalang mangsa mengambil cuti bersalin dan memberinya beban kerja tambahan.
Menurut Utusan Malaysia, Oddity Central melaporkan, seorang pekerja di institusi gabungan kerajaan di Wilayah Hubei didapati memasukkan racun ke dalam air minuman rakannya yang hamil berulang kali dengan niat mahu wanita itu mengalami keguguran.
Rancangan jahat itu terbongkar apabila mangsa menyedari air yang diminum di pejabat sentiasa berasa pelik, walaupun selepas dia bertukar kepada air botol.
Selepas mendengar gurauan ada yang cuba meracuninya, wanita itu segera merakam kelibat individu yang mendekati meja kerjanya menggunakan tablet.
Dia kemudian berjaya menangkap perbuatan rakannya yang menuang bahan seperti serbuk ke dalam botol airnya sebelum berpaling dan pergi tanpa disedari sesiapa.
Menurut tangkap layar skrin perbualan WeChat, suspek mengakui sengaja berbuat demikian kerana tidak mampu menangani beban kerja yang banyak apabila wanita hamil itu cuti bersalin dalam tempoh yang panjang.
Mangsa kemudian membuat laporan polis dan pihak berkuasa segera menjalankan siasatan kerana suspek bertindak dengan niat untuk mendatangkan bahaya hingga boleh mencetus jenayah serius tanpa mengira jenis bahan yang digunakan.
Kes luar biasa itu tular di media sosial China, di mana kebanyakan pengguna menyatakan rasa terkejut mereka terhadap cara penyelesaian keji yang digunakan suspek bagi menangani potensi peningkatan beban kerja.
“Meracuni seseorang hanya kerana anda tidak mahu mereka bercuti? Adakah dia telah menonton terlalu banyak drama polis?”kata seorang pengguna WeChat.































