JOHOR BAHRU: Serangan siber terhadap sistem pertahanan negara meningkat sehingga 3,000 serangan sehari khususnya selepas Malaysia menyatakan sokongan terhadap Palestin.
Menurut Utusan Malaysia, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, serangan itu dilakukan pelbagai pihak, termasuklah dari luar negara.
Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan identiti mana-mana pihak yang terlibat.
“Setiap hari serangan siber kepada negara lebih kurang 3,000. Jika berjaya, ia bukan sahaja bertujuan untuk godam sistem kita, tetapi mereka mampu mengintip, mendengar dan meninjau pergerakan dan perbualan termasuklah dalam isu Palestin.
“Mungkin kita terima (serangan) ini kerana pendirian negara khususnya dalam soal mempertahankan Palestin dan menentang tindakan Israel di Gaza. Memang ada peningkatan jumlah serangan siber,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Berbuka Puasa Menteri Pertahanan Bersama Warga Tentera Darat di Pusat Latihan Tentera Darat (PULADA), Ulu Tiram, di sini kelmarin.
Mohamed Khaled turut memberitahu, Kementerian Pertahanan sedia membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung penahanan seorang lelaki warga Israel bersama enam pucuk pistol dan 200 butir peluru di sebuah hotel di Jalan Ampang, Kuala Lumpur, Rabu lalu.
“Soal ini kalau ada diminta (bantuan) kita sedia bantu, tetapi soal keselamatan dalam negara bawah bidang kuasa polis. Kita percaya mereka mampu jalankan tanggungjawab untuk siasat perkara ini.
“Tetapi di peringkat kementerian, kita juga akan pertingkatkan kawalan keselamatan negara agar terus terjaga,” ujarnya.


































