SINGAPURA: Kementerian Sumber Manusia (MOM) republik ini mengumumkan kenaikan kadar gaji minimum pemegang pas Kebenaran Pekerja (EP).
Menurut Utusan Malaysia, Financial Express melaporkan, EP membenarkan pekerja asing kategori profesional, pengurusan dan eksekutif bekerja di negara ini.
Langkah itu bertujuan mengekalkan kadar gaji sama rata dengan penduduk tempatan merentas semua kumpulan umur.
Menerusi penyelarasan gaji baharu itu, kadar gaji minimum yang dinaikkan adalah dari 5,000 dolar Singapura (RM17,600) kepada 5,600 dolar Singapura (RM19,700), sebulan.
Kelayakan gaji bagi pemegang EP juga akan terus meningkat secara progresif mengikut umur sehingga mencecah 10,700 dolar Singapura (RM37,700) bagi pekerja berusia pertengahan 40an.
Sektor Perkhidmatan Kewangan pula akan terus menyaksikan gaji kelayakan minimum EP lebih tinggi, yang akan dinaikkan daripada $5,500 (RM19,399) kepada $6,200 (RM21,868) sebulan.
Perubahan itu juga akan terus meningkat secara progresif mengikut umur, sehingga mencecah $11,800 (RM41,624) untuk calon yang berumur pertengahan 40an.
Gaji kelayakan EP yang disemak akan digunakan untuk permohonan EP baharu mulai 1 Januari 2025, dan untuk pembaharuan permohonan mulai 1 Januari 2026.
Kerajaan Singapura juga menaikkan had gaji kelayakan tempatan (LQS) dan firma yang mengambil pekerja asing dikehendaki membayar semua pekerja tempatan mereka mengikut kadar tersebut.
Kerajaan akan menaikkan LQS daripada 1,400 dolar Singapura (RM4,900) kepada 1,600 dolar Singapura (RM5,600) sebulan.
Ini bermakna, pekerja tempatan sepenuh masa akan menikmati sekurang-kurangnya 1,600 dolar Singapura (RM5,600) sebulan atau 10.50 dolar Singapura (RM37) sejam untuk kakitangan sambilan.
Perubahan ini akan dilaksanakan mulai 1 Julai depan.
































