CANBERRA: Seorang murid sekolah berusia lapan tahun digelar sebagai pembeli rumah termuda apabila berjaya membeli aset berkenaan hasil wang simpanan sendiri.
Menurut Utusan Malaysia, Ruby McLellan membeli rumah yang mempunyai empat bilik tidur bernilai 671,000 dolar Australia (RM2 juta), sejak tiga tahun lalu. Kini, harga rumah tersebut sudah mencecah 960,000 dolar Australia (RM2.9 juta).
Kanak-kanak itu bertuah kerana ayahnya, Cam McLellan ialah seorang Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) di syarikat pelaburan hartanah, OpenCorp.
Lelaki itu sudah mengajar anak-anaknya tentang ilmu asas pelaburan supaya mereka mendapat pendedahan lebih awal.
“Dalam tempoh 10 tahun akan datang, ketika anak-anak kita mula mencari rumah sendiri, jumlah deposit yang perlu dibayar boleh mencecah 200,000 dolar Australia (RM619,000).
“Tidak mungkin mereka akan mampu membeli rumah tanpa bantuan daripada ibu dan ayah sendiri.
“Jadi, apa yang perlu dilakukan sekarang adalah mengeluarkan satu deposit kecil untuk membeli hartanah agar nilainya meningkat dua kali ganda, sebelum boleh menjualnya pada masa depan,” katanya lapor Metro.
Cam berkongsi tips bagaimana anaknya mampu mempunyai sejumlah wang simpanan sehingga mampu membeli rumah.
Katanya, setiap kali anaknya menerima upah hasil kerja rumah yang dilakukan, dia akan melaburkan wang tersebut agar nilainya lebih berganda.
Katanya, anak-anaknya yang lain, Angus, 14 dan Lucy, 13, juga membantu membayar deposit sebanyak 6,000 dolar Australia (RM18,500).
“Buat masa sekarang, rumah itu disewakan. Sewa yang dikenakan adalah lebih tinggi daripada bayaran bulanan yang perlu dibuat kepada bank. Langkah ini sudah tentu dapat meringankan beban hutang yang perlu ditanggung,” katanya.
Ruby dan adik beradiknya kini sudah merancang untuk membuat pelaburan lain hasil keuntungan yang dijana daripada pembelian aset pertama mereka.
































