KOTA KINABALU: Seorang pegawai penguat kuasa ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah kerana disyaki menerima wang rasuah secara bulanan dengan jumlah keseluruhan RM4,000.
Lelaki berusia 40-an itu didakwa menerima wang RM500 setiap bulan daripada syarikat pengurup wang berlesen sebagai balasan melindungi perniagaan syarikat berkenaan.
Menurut Utusan Malaysia, sumber memberitahu, pegawai penguatkuasa tersebut dipercayai menerima wang rasuah daripada seorang individu secara pindahan wang sebanyak RM500 bagi setiap transaksi dari tahun 2020 sehingga 2021.
“Suspek telah ditahan kira-kira pukul 9 pagi tadi ketika hadir bagi memberi keterangan di Pejabat SPRM Sabah,” katanya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk Karunanithy a/l Y. Subbiah ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.
Beliau berkata, suspek akan dibawa ke Mahkamah Khas Rasuah Kota Kinabalu esok.


































