KUALA LUMPUR: Kegiatan medan selera di ibu negara yang menawarkan khidmat pelacuran kepada pelanggan terbongkar selepas diserbu polis Sabtu.
Medan selera tersebut antara 11 premis yang diserbu Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi bermula 2.50 petang sehingga 11 malam.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, pelanggan yang mahu mendapatkan perkhidmatan perlu membayar harga kalungan bunga sebelum boleh membawa wanita pelayan pelanggan (GRO) keluar dari premis berkenaan.
Selain itu, katanya, turut diperiksa sebuah lagi medan selera, dua premis pelacuran dan tujuh premis urut yang beroperasi sekitar Jalan Pudu dan Bukit Bintang.
“Hasil serbuan, seramai 47 individu iaitu 25 wanita warga asing; lelaki warga asing (14 orang); lelaki tempatan (enam orang) dan wanita tempatan (dua orang) yang kesemua berusia antara 18 tahun sehingga 60 tahun.
“Polis turut merampas pelbagai peralatan disyaki digunakan bagi perkhidmatan seks, peralatan muzik, resit dan lesen perniagaan, telefon bimbit, kalungan bunga serta wang tunai berjumlah RM4,730,” katanya dalam kenyataan kelmarin.
Menurutnya, siasatan awal mendapati, medan selera berkenaan menggunakan taktik memberikan kalungan bunga yang mana pelanggan membayarnya dengan harga tertentu.
Jelas beliau, selepas bayaran dibuat, pelanggan membawa keluar wanita warga asing terbabit bagi tujuan perkhidmatan seks.
“Kesemua individu yang ditahan ditahan reman untuk siasatan lanjut. Kes disiasat mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan, Seksyen 55B dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.
Beliau turut menyeru orang ramai menyalurkan maklumat mengenai sebarang kegiatan menyalahi undang-undang dengan menghubungi IPD Dang Wangi di talian 03-26002222 atau balai polis berhampiran.
































