Mazli Mazlan (dua dari kiri) diberi taklimat sebelum menyertai rondaan SRS di Kampung Bukit Tok Beng, Seberang Takir, Kuala Nerus, semalam.
KUALA NERUS: Polis Terengganu akan terus bekerjasama dengan masyarakat setempat bagi mencegah jenayah pecah tabung masjid yang berleluasa pada Ramadan ini.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis negeri, Datuk Mazli Mazlan berkata, pihaknya menerima tiga laporan membabitkan kes berkenaan iaitu dua di daerah ini dan satu di Marang sejak 1 Ramadan lalu.
Menurut beliau, pasukan petugas atau ‘task force’ terdiri daripada pasukan polis dan Skim Rondaan Sukarela (SRS) akan meningkatkan pemantauan di kawasan masjid dan surau terutama pada waktu malam.
Katanya, rumah ibadat berisiko tinggi untuk dijadikan sasaran dalam bulan Ramadan oleh penjenayah sebagai jalan mudah untuk mencuri duit hasil sumbangan orang ramai.
“Pada bulan Ramadan ini, masjid atau surau menerima banyak kutipan derma sehingga menyebabkan rumah ibadat itu menjadi sasaran penjenayah untuk dipecah masuk.
“Setakat ini pihak polis masih giat memburu suspek dipercayai warga tempatan bagi tiga kes yang dilaporkan iaitu di Gong Badak, Kampung Losong dan Bukit Payung ,” katanya.
Beliau ditemui selepas merasmikan Program Rondaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan SRS Peringkat Negeri Terengganu di sini, malam semalam.
Tambah Mazli lagi, PDRM bersama SRS di bawah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) turut mengambil langkah tambahan lain bagi menjaga keselamatan masyarakat kampung.
Jelasnya, antaranya melalui pendekatan ‘satu polis, satu masjid’ serta penggiliran rondaan bersama anggota komuniti bukan sahaja bagi mengekang kes pecah tabung masjid dan jenayah-jenayah lain.
“Justeru itu, PDRM berharap SRS serta Kawasan Rukun Tetangga (KRT) boleh membantu dengan menjadi ‘mata dan telinga’ untuk sama-sama menjaga keselamatan satu sama lain,” ujarnya.


































