Surat layang yang tular dalam media sosial berkaitan dakwaan doktor pelatih menjadi mangsa gangguan seksual dan ugutan doktor senior.
IPOH: Kementerian Kesihatan (KKM) melalui Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) sedang menjalankan siasatan berkaitan dakwaan doktor pelatih (houseman) di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini yang dikatakan menjadi mangsa gangguan seksual dan ugutan doktor senior.
Menurut Utusan Malaysia, Pengarah Kesihatan Negeri, Dr. Feisul Idzwan Mustapha berkata, satu Jawatankuasa Penyiasatan Bebas telah ditubuhkan pada 29 Februari lalu bagi menyiasat dakwaan berkenaan.
Katanya, jawatankuasa tersebut disertai oleh pegawai-pegawai yang dilantik oleh Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan) KKM.
“Jawatankuasa itu ditubuhkan selepas kita menerima surat layang yang dihantar melalui kiriman pos pada 28 Februari lalu.
“KKM memandang pertuduhan itu sebagai sangat serius dan mempunyai toleransi sifar terhadap isu gangguan seksual di tempat kerja.
“Siasatan berhubung perkara ini sedang dijalankan bagi mengumpul bukti-bukti berkaitan,” katanya di sini hari ini.
Terdahulu, tular di laman sosial surat yang mengandungi dakwaan beberapa doktor pelatih wanita di Jabatan Ortopedik HRPB yang sering diganggu secara seksual oleh seorang doktor lelaki.
Menurut surat berkenaan, doktor terbabit sering mengambil kesempatan dengan meraba, menyentuh bahagian tali baju dalam, mencubit badan dan paha selain bercakap lucah.
Selain itu, doktor itu juga didakwa mengugut mangsa untuk memanjangkan tempoh ‘tagging’ dan latihan walaupun tidak diberi kuasa untuk berbuat demikian.
































