Masiung (dua dari kiri) menyerahkan kunci kepada salah seorang penerima rumah mesra SMJ disaksikan Nelson (kiri) dan Tokyo (kanan).
TONGOD: Golongan ibu tunggal dan orang kelainan upaya (OKU) di daerah Tongod yang tidak berdaftar e-Kasih akan diberikan keutamaan memohon dan memiliki bantuan Rumah Mesra SMJ.
ADUN Kuamut, Datuk Masiung Banah berkata, pemilik rumah yang ditimpa bencana seperti kebakaran atau dihanyutkan banjir juga layak diberi pertimbangan.
Katanya, walaupun daftar e-Kasih menjadi syarat utama memohon bantuan itu, namun ibu tunggal, OKU dan keluarga yang ditimpa bencana tidak boleh diketepikan.
“Saya dapati ramai ibu tunggal dan OKU di Tongod tidak berdaftar dengan e-Kasih, namun mereka wajar diberi layanan sama rata.
“Wujud kepincangan dalam pangkalan data e-Kasih dan ia perlu dikemas kini setiap tahun mengikut syarat ditetapkan,” katanya selepas menyampaikan kunci kepada 20 penerima bantuan Rumah Mesra SMJ di Kampung Alitang, di sini, kelmarin.
Menurut Masiung, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) merupakan Kerajaan Sabah yang pertama memperkenalkan bantuan Rumah Mesra SMJ sejak beberapa siri kerajaan negeri yang lalu.
Katanya, sebanyak 60 buah Rumah SMJ telah dan sedang dibina di Tongod sejak 2021 sehingga kini, yang melibatkan perbelanjaan sebanyak RM480,000.
Masiung berkata, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM80,000 setiap sebuah rumah di bawah program pembangunan Sabah Maju Jaya.
Tahun ini sahaja katanya, Kerajaan Negeri telah membelanjakan sebanyak RM5,840,000 untuk mendirikan Rumah Mesra SMJ di 73 kawasan DUN.
Selain berpeluang memiliki bantuan Rumah Mesra SMJ, golongan yang terdaftar dalam e-Kasih di Sabah turut berpeluang memohon bantuan rumah Program Perumahan Rakyat (PPR) di bawah peruntukan Kerajaan Persekutuan.
Pegawai Daerah Tongod, Nelson Domil Ulok dan Pegawai Pembangunan Masyarakat, Tokyo Hashim Omar turut hadir.
































