SANHE: Sekurang-kurangnya dua orang maut dan 26 lagi cedera selepas satu letupan besar berlaku membabitkan sebuah restoran di wilayah Hebei, utara China.
Letupan yang dipercayai berpunca akibat kebocoran gas turut menyebabkan bangunan dan kereta berdekatan rosak teruk serta serpihan besar bertaburan di sekitar jalan.
Menurut Utusan Malaysia, penyiar negara CCTV News melaporkan, kejadian itu berlaku sekitar pukul 8 pagi (waktu tempatan) di daerah Sanhe, kira-kira 80 kilometer (km) dari kota Beijing
Beberapa video di Weibo menunjukkan api besar marak di lokasi kejadian, diikuti dengan kepulan asap kelabu yang tebal memenuhi ruang udara.
Rakaman itu turut menunjukkan bahagian hadapan bangunan yang musnah, banyak kenderaan remuk dengan serpihan kaca bertaburan di sekitar jalan, selain beberapa objek masih terbakar.
Pegawai kecemasan bandar menerusi kenyataan memaklumkan kebocoran gas dipercayai mencetuskan letupan di sebuah restoran menjual ayam goreng di bandar Yanjiao.
Jelas kenyataan itu, pasukan penyelamat, bomba, kesihatan dan pegawai lain dikerahkan ke lokasi kejadian.
Terdahulu, jabatan bomba dalam satu kenyataan memaklumkan kebakaran berjaya dikawal.
Jelas jabatan bomba, seramai 154 anggota bersama 36 jentera dihantar ke lokasi kejadian dan kerja menyelamat masih diteruskan.


































