Azalina Othman Said
PETALING JAYA: Proses timbang tara komersial antarabangsa adalah mekanisme penting dalam penyelesaian pertikaian global dan mesti dilindungi daripada penyalahgunaan sesetengah pihak.
Menurut Utusan Malaysia, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, ia mesti dilindungi daripada percubaan salah guna kuasa untuk memeras negara-negara berdaulat di bawah tuntutan timbang tara.
“Malaysia sedang giat melihat semua kemungkinan remedi undang-undang terhadap sebarang tuntutan remeh demi mempertahankan kedaulatan, keselamatan dan kepentingannya pada setiap masa.
“Malaysia tidak pernah mengiktiraf kesahihan tuntutan ke atas kedaulatan, wilayah dan sumber asli Sabah.
“Kerajaan Malaysia sekali lagi menekankan bahawa pelaksanaan penentuan Sabah untuk menjadi sebahagian Malaysia telah diselesaikan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Oleh itu, Azalina berkata, kelemahan undang-undang dan penyalahgunaan proses timbang tara telah menghukum sesetengah pihk seperti contoh kes tuntutan oleh sekumpulan yang mendakwa sebagai waris kesultanan Sulu.
Bagaimanapun, penimbang tara yang terlibat dalam isu tuntutan Sulu , Gonzalo Stampa, telah dihukum penjara kerana didapati bersalah.
Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Pengerang itu berkata, Sabah telah menjadi sebahagian daripada Malaysia. berdasarkan fakta undang-undang dekolonisasi pada tahun 1963.
“Kesultanan Sulu tidak berfungsi selama beberapa dekad dan tidak diiktiraf oleh mana-mana negara berdaulat atau organisasi antarabangsa.
“Sabah telah menjadi sebahagian daripada Malaysia berdasarkan fakta undang-undang dekolonisasi pada tahun 1963,” katanya .
































