Anwar Ibrahim
SUBANG JAYA: Kerajaan sedia mengkaji memberikan kelonggaran waktu kerja kepada penjawat awam wanita yang berhasrat melaksanakan tanggungjawab menjaga rumahtangga dan anak-anak dengan kadar upah diberikan berdasarkan waktu bekerjanya.
Menurut Utusan Malaysia, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim Ibrahim berkata, perkara itu akan dibincangkannya bersama Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd. Zuki Ali dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.
Beliau berkata, pendekatan tersebut dilihat sebagai langkah untuk memanfaatkan kebolehan golongan wanita yang mahu memberi sumbangan kepada negara sambil melaksanakan tanggungjawabnya di rumah.
“Saya akan bincang dengan KSN dan KPPA untuk memberi sedikit ruang dan kelonggaran walaupun mungkin dengan gaji yang kurang. Umpamanya biasa orang bekerja (pukul) 8 pagi hingga petang, kalau dia bekerja empat jam jadi kadar upah mungkin sekadar empat jam.
“Tetapi sekurang-kurangnya kita boleh memanfaatkan wanita yang merasa terdesak untuk menjaga kepentingan anak-anak mereka di rumah.
“Ada yang mengatakan dia mampu ambil pembantu rumah tapi sedang memikirkan lebih baik dia mendidik anak secara langsung daripada menyerahkan kepada pembantu rumah. Bagi kalangan ini, harus diberikan sedikit peluang dan saya percaya kita boleh teliti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2024 di sini, kelmarin.
Turut hadir pada majlis itu adalah Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri dan isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, perkara tersebut mungkin akan diumumkan sebelum akhir tahun ini jika kajiannya dapat diselesaikan secepat mungkin.
Pada masa sama, jika pendekatan tersebut berjaya dilaksanakan, ia akan menjadikan Malaysia sebagai negara pertama yang mengiktiraf golongan wanita.
“Kalau sempat kita umumkan sebelum akhir tahun ini. Ia kalau jadi ini merupakan di antara negara pertama yang memberikan pengiktirafan yang cukup bermakna kepada wanita.
“Memberi ruang kepada mereka bekerja disamping menjaga urusan rumahtangga masinga-masing,” katanya.
Sementara itu, Perdana Menteri memaklumkan bahawa kerajaan kini sudah di peringkat akhir dalam melaksanakan kajian berhubunv skim persaraan penjawat awam.
“Saya percaya sekarang kita sedang di peringkat akhir mengkaji skim persaraan penjawat awam dengan maksud meningkatkan kadar upah kerana sudah lebih 10 tahun tidak dikaji dan kita sedang mengkaji,” katanya.
































