Anupam Madan Khandare
LAHORE: Seorang lelaki India ditahan kerana menyamar sebagai pegawai polis demi membantu adiknya menipu dalam Peperiksaan Sijil Menengah Tinggi (HSC) yang diadakan di sebuah sekolah di bandar Patur dua minggu lalu.
Menurut Utusan Malaysia, Anupam Madan Khandare, 24, memasuki Sekolah Tinggi Shahbabu Urdu dengan memakai seragam lengkap pegawai polis sebelum menyusup masuk ke pusat peperiksaan dengan alasan kononnya diarahkan menyelia pelajar.
Khandare kemudian merancang memberi adiknya maklumat dan nota diperlukan untuk lulus dalam peperiksaan tersebut yang diadakan pada 21 Februari lalu.
Namun tindakannya berjaya dihidu seorang inspektor polis sebenar dan pasukannya yang tiba untuk menjaga keselamatan semasa peperiksaan penting itu.
“Apabila melihat inspektor tiba, anggota polis palsu itu cuba mengangkat tangan kononnya memberi hormat kepada rakan sekerjanya, tetapi gerak geri janggalnya serta-merta menimbulkan syak wasangka.
“Ketika anggota polis sebenar mula memeriksa dengan teliti seragam Khandare, mereka menyedari tanda namanya tidak betul, begitu juga kualiti pakaiannya yang berbeza.
“Inspektor polis segera memeriksa poketnya dan mereka menjumpai helaian nota jawapan untuk adiknya yang sedang mengambil peperiksaan tahap ke-12,” jelas laporan media.
Khandare kemudian ditahan atas kesalahan menyamar sebagai kakitangan kerajaan dan berisiko berdepan hukuman penjara ekoran tindakannya itu.


































