Anggota bomba dalam operasi kejadian tiga lelaki Bangladesh maut dilanggar komuter selepas menceroboh landasan di Kajang, Selangor malam tadi. – Ihsan Bomba
PETALING JAYA: Tiga lelaki Bangladesh maut selepas dilanggar komuter dalam kejadian di Landasan Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB), Taman Puncak Utama Jade Hill, Kajang dekat sini malam Ahaf.
Menurut Utusan Malaysia, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 10.53 malam berkaitan kejadian itu.
Katanya, seramai lima anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kajang ke lokasi kejadian.
“Kemalangan melibatkan sebuah komuter melanggar tiga lelaki Bangladesh berusia antara 30-an hingga 40-an.
“Mereka didapati menceroboh melalui landasan kereta api dan kesemua mangsa dipercayai tercampak di tepi landasan terbabit,” katanya dalam kenyataan kelmarin.
Katanya, ketiga-tiga mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak perubatan di lokasi kejadian.
“Operasi selesai pada 12.05 tengah malam dan ketiga-tiga mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.


































