Nikki Haley
WASHINGTON: Bekas Duta Amerika Syarikat (AS) ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Nikki Haley berikrar akan kekal berada dalam perlumbaan untuk menjadi calon presiden dari Parti Republikan.
Menurut Utusan Malaysia, ikrar itu dibuat Haley tanpa mengira keputusan undian bakal diperoleh pada pemilihan peringkat primari presiden di Carolina Selatan pada Sabtu ini, yang mana wanita itu dikatakan masih jauh di belakang Donald Trump.
Beberapa tinjauan dijalankan di negeri kelahiran Haley, di samping tiga kekalahan berturut-turut kepada Trump, mencetuskan spekulasi bahawa beliau mungkin akan menarik diri daripada saingan itu tidak lama lagi.
“Saya tidak akan melakukannya. Malah, ia jauh daripada itu,” katanya ketika berucap dalam satu acara di Greenville, Carolina Selatan.
Malah, Haley turut berjanji untuk menamatkan sekurang-kurangnya 16 perlumbaan sebelum 5 March depan.
“Saya tidak akan berhenti. Penduduk Carolina Selatan akan mengundi pada hari Sabtu.
“Namun, pada keesokan harinya, saya akan tetap bertanding untuk jawatan presiden, saya tidak akan ke mana-mana,” katanya.
Bekas Gabenor Carolina Selatan itu dikatakan masih berada jauh di belakang Trump.
Tinjauan terbaharu dari Carolina Selatan menunjukkan Haley berada kira-kira 30 mata di belakang Trump. Di peringkat kebangsaan, margin itu lebih luas.
Namun, pencabar Trump itu masih meneruskan kempennya dengan bersungguh-sungguh termasuk menjadualkan pelbagai acara di seluruh negara.
Dilaporkan, Trump ketika ini sedang berkempen di Carolina Selatan untuk memastikannya mencatat kemenangan besar, selain mengukuhkan lagi kedudukannya sebagai calon presiden dari parti Republikan.
Trump dan Haley bertembung satu lawan satu dalam perlumbaan menjadi calon Parti Republikan pada Pilihan Raya Presiden AS 2024, sejak Gabenor Florida, Ron DeSantis menarik diri daripada bertanding pada Januari lalu.


































