ARAU: Hasil padi membabitkan 15,960 pesawah di Perlis dijangka merosot sehingga 50 peratus berikutan fenomena El Nino yang mengakibatkan cuaca panas dan kering.
Pesawah menjangkakan hasil musim ini boleh terjejas teruk dengan anggaran sekitar dua ke tiga tan metrik per hektar sahaja mampu dihasilkan berbanding kelaziman lima tan metrik.
Difahamkan, setakat ini hampir 90 peratus pesawah di Perlis masih belum menuai hasil.
Menurut Utusan Malaysia, seorang pesawah, Mohd. Noor Hashim, 60, berkata, kelewatan itu berpunca daripada isu kelewatan bekalan benih padi sebelum ini yang menyebabkan pesawah tidak dapat mengikut jadual penanaman yang ditetapkan.
“Ketika ini ada padi yang sedang membesar itu memerlukan bekalan air, namun sekarang sungai pun sudah semakin susut. Pada masa ini, hanya sekitar 10 peratus pesawah di negeri ini yang sudah menuai hasil manakala selebihnya masih dalam proses tuaian dalam tempoh terdekat.
“Memang beri kesanlah cuaca panas ini, malah tahun ini cuaca lebih panas berbanding tahun lalu dengan ada sawah sudah merekah dan kering. Padi yang baru nak keluar memerlukan air dan air sungai sekarang pun makin kurang.
“Berikutan itu, hasil juga bakal terjejas dengan jangkaan antara dua ke tiga tan metrik sahaja atau mungkin lebih sedikit. Bagi pesawah yang sudah menuai hasil, mungkin sudah selamat namun masih ramai yang belum tuai,” katanya.
Perlis merekodkan sebanyak 15,960 pesawah dengan keluasan sawah di kawasan dalam dan luar kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) ialah seluas 28,033 hektar.
Cuaca panas melampau sehingga mencecah 37 darjah Celsius dengan hujan sudah lebih sebulan tidak berlaku menyebabkan terdapat kawasan sawah padi di negeri ini mula merekah dan kering kontang.
Tambah Mohd. Noor, bagi mengatasi masalah bekalan air, pam sangat diperlukan bagi membekalkan sumber berkenaan ke sawah.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Perladangan dan Industri Makanan negeri, Razali Saad berkata, sebanyak 30 pam digerakkan bagi membantu menyalurkan air ke kawasan sawah sekitar negeri ini susulan keadaan cuaca panas ketika ini.
Katanya, langkah tersebut berikutan masih terdapat banyak kawasan tanaman padi di negeri ini berusia bawah tempoh 50 hari dan memerlukan penggunaan banyak air.
Sementara itu, di Alor Setar, Exco Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (Pesawah), Abdul Rashid Yob berkata, terdapat tanah sawah di luar MADA sudah merekah berikutan ketiadaan sumber air.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, beliau berkata, kira-kira 20,000 hektar sawah di kawasan luar MADA yang terkesan dengan cuaca sekarang ini kerana kawasan berkenaan hanya bergantung kepada air hujan dan air bukit.
“Jika cuaca panas berterusan tanpa hujan, kita khuatir mereka terpaksa menangguhkan jadual penanaman padi seterusnya,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Katanya, cuaca panas juga mengakibatkan pesawah terpaksa mengehadkan urusan kerja mereka di sawah.
“Ramai pesawah perlu bekerja awal, iaitu selepas subuh dan kembali ke rumah pukul 10 pagi sebelum kembali semula ke sawah selepas 5 petang kerana faktor cuaca terlalu panas. Agak berisiko untuk terkena strok haba,” katanya.
Tambah beliau, pihaknya amat berharap agensi berkaitan seperti MADA, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (AIDA) dan agensi lain dapat membuat persediaan untuk menghadapi fenomena El Nino yang dijangka lebih dahsyat pada tahun depan.


































