Lokasi kejadian seorang wanita dan dua anaknya ditemukan mati dalam keadaan tergantung di sebuah rumah di Lenggeng, Seremban, semalam.
SEREMBAN: Seorang wanita dan dua orang kanak-kanak perempuan ditemukan mati tergantung di kipas di sebuah taman perumahan di Lenggeng di sini dalam kejadian yang berlaku malam semalam.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Abdul Malik Hasim berkata, pada pukul 9.25 malam semalam, pihak Balai Polis Lenggeng telah menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki memaklumkan terdapat seorang perempuan dewasa dan dua orang kanak-kanak ditemui mati gantung diri di sebuah taman perumahan.
“Hasil siasatan awal mendapati si mati seorang wanita berumur 34 tahun dan dua orang kanak-kanak perempuan yang juga anaknya berusia tiga hingga enam tahun telah dijumpai mati tergantung di kipas.
“Turut ditemui di tempat kejadian adalah nota tulisan si mati yang menyatakan mahu membunuh diri kerana masalah rumah tangga yang dialami,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Menurut beliau, lebih kurang pukul 1 pagi tadi, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai telah membuat tangkapan ke atas suami wanita terbabit yang berusia 30 tahun.
“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Permohonan reman telah dibuat di Mahkamah Majistret Seremban pada pagi tadi dan reman dibenarkan selama empat hari sehingga 23 Februari ini.
“Mayat ketiga-tiga si mati telah dihantar ke Bahagian Forensik Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS) untuk bedah siasat. Orang ramai dinasihatkan untuk tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu sisatan dijalankan,” katanya.


































